Monday, March 26, 2012

Kisah si ketam mengajar anaknya berjalan

Assalamualaikum w.b.t

Hati sangat tersentap bila melihat seorang bapa yang memukul anak kecil dalam usia sekitar 4 tahun di khalayak ramai. Mungkin tindakan refleks bapa yang terkejut apabila melihat anaknya nyaris-nyaris dilanggar oleh sebuah kereta di stesen minyak, menyebabkan si bapa memukul dan menampar anak kecil itu. Tidak cukup dengan itu, bapa tersebut turut menolak anaknya sampaikan tersungkur jatuh, akibat hati yang tersangat marah melihat anaknya yang barangkali tidak berhati-hati berlari ke arah kereta mereka.

Anak kecil seawal usia 4 tahun, apa lah yang mereka faham. Jiwa dan fitrah mereka memang hanya tahu bermain sahaja. Tidak dapat membezakan antara bahaya atau tidak. Tetapi ibu bapalah yang perlu mencorak dan mengajar mereka. Mahu saja, saya turun dari kereta dan memujuk anak kecil itu yang sedang menangis kesakitan akibat dipukul bapanya. Mahu juga saya jerit pada bapanya, yang anak itu tidak bersalah. Tetapi yang bersalah adalah "KAU". Kau yang cuai sebab tidak memimpin tangan anak sewaktu melintas. Sepatutnya, si bapa memeluk anak itu dan bersyukur sebab tidak dilanggar, dan umurnya masih panjang.

Adakah, perlu tunggu nyawa sudah tiada baru menyesali, menangis dan meratapi tubuh kecil itu? Boleh, jika hendak menghukum anak-anak, tetapi jangan keterlaluan. Dalam agama pun sudah diajar, bagaimana cara hendak menghukum. Jangan menghukum anak atas sebab melepaskan geram, tapi cukuplah sekadar ingin memberi pengajaran.

Kita marah anak sebab tidak toleh kiri kanan sewaktu melintas jalan, tapi kita sendiri langgar lampu isyarat. Kita marah anak sebab suka makan gula-gula takut gigi rosak, tapi kita sendiri hisap rokok, (tak bahaya ke?), kita marah anak sebab tidak score dalam exam, tapi kita sendiri bijak sangat ke? Kita marah anak sebab tidak hormat orang tua, tapi kita sendiri tidak ada masa untuk peluk anak. Kita marah anak sebab tidak solat 5 waktu, tapi kita sendiri subuh "gajah".

Apa-apa pun kembali pada dia sendiri. Peranan ibu bapa dalam institusi kekeluargaan sangat penting. Semua orang buat salah, yang penting berusaha untuk meminimumkan kesalahan dan cuba memperbaiki diri. Menghukum bukan untuk melepaskan geram, tapi menghukumlah untuk mendidik.

Saturday, March 24, 2012

Resepi mak -Part 2

Asalamualaikum w.b.t

Sekejap sungguh masa berlalu, esok sudah pun hari ahad. Bagi yang sedang berpantang, mesti tempoh 44 hari terasa bagai 44 bulan, kan? Hehe... So, hari ini, saya ingin share satu lagi resipi mak untuk tambah susu badan. Sangat bagus untuk ibu-ibu yang sedang berpantang dan ibu yang menyusukan. Sawi bunga masak air. Sangat mudah.

Bahan-bahan:

1- Seikat sawi bunga
2- 3 ulas bawang putih
3- lada merah
4- udang rencah (tak letak pun takpe)
5- garam dan minyak

Cara-cara memasak:

1- Potong sawi bunga
2- Ketuk (tumbuk sedikit) bawang putih
3- Panaskan sedikit minyak, tumis bawang putih sehingga menjadi warna kuning
4- Masukkan air dan masukkan udang, setelah mendidih masukkan sawi bunga
5- Masukkan lada merah yang telah dipotong serong
6- Tambahkan garam sebagai perisa.

Siap!tersangat mudah dan cepat kan? Suami pun, boleh tolong masakkan. Selamat mencuba.
Tips: Pastikan anda menggunakan sawi BUNGA, sebab rasanya manis, berbanding sawi biasa.

Wednesday, March 21, 2012

Perancangan = S.U.C.C.E.S.S

Asalamualaikum w.b.t

Memang benar kata orang, bukan mudah untuk berubah menjadi orang yang berjaya. Perlukan nilai konsistensi yang tinggi, perlukan kekuatan atau semangat, perlukan sokongan dan yang paling penting, untuk berubah, perlukan matlamat iaitu GOAL serta perancangan.

Banyak orang, termasuklah saya sendiri, apabila ingin bercuti, sudah pastinya mula merancang dari awal lagi. Bila tarikhnya? hotel mana untuk menginap? kedai makan mana untuk mengisi perut? hendak shopping apa?, semuanya dirancang. Tapi adakah kehidupan, yang kita lalui hari-hari dirancang? Ya, memang benar, manusia hanya mampu merancang, tapi yang menentukan semuanya adalah Yang Maha Kuasa. Sebab itu lah manusia perlu merancang, berusaha dan akhirnya bertawakal.

John C.Maxwell dalam bukunya "Your RoadMap For Success" menyatakan, kejayaan bukanlah destinasi, tetapi kejayaan adalah sebuah perjalanan, yang perlu dirancang dari awal.

Jika kita memilih dan merancang sebuah perjalanan yang menyeronokkan, maka kita akhirnya akan melaluinya walaupun terdapat halangan. Tetapi jika kita tidak merancang, maka jadilah perjalanan itu satu perjalanan yang biasa, yang berkemungkinan kita akan tersesat semasa melaluinya.

Kehidupan perlu dirancang supaya kita jadi manusia yang luar biasa dan berjaya. Jika tidak, jadilah kita seperti sebuah mesin yang bergerak, melakukan perkara-perkara rutin seperti biasa tanpa merasai nikmatnya sebuah kehidupan. Bangun pagi- pergi kerja- balik rumah- tidur dan keesokan harinya mengulangi rutin yang sama. ALLAH, berapa lama lagi kita diberikan peluang untuk bernafas? Jangan bila tiba saat akhir, baru kita menyesali kehidupan yang selama ini dilalui dengan kerugian dan bermalas-malasan.

Jom kita rancang GOAL, rancang perbelanjaan dan rancang jadual kehidupan....

Wednesday, March 14, 2012

Didikan abah

"Hari ini belajar ok?. Ada yang tidak faham ke?", tanya abah.
"Ok, seronok sebab dapat cikgu matematik yang baru," jawab saya. "Tapi,yang tak bestnya, idah terpisah dengan kawan-kawan lama," tambah saya lagi.
"Takperlah, idah belajar rajin-rajin, kalau tak faham, tanya cikgu atau tanya pada kawan-kawan yang boleh bantu. "Tunjukkan suatu hari nanti idah boleh duduk semula satu kelas dengan kawan-kawan lama," pesan abah.

Suatu ketika dulu, sewaktu berada di tingkatan 1, akibat keputusan UPSR yang tidak berapa baik saya telah dicampak ke kelas yang agak jauh grednya berbanding rakan-rakan yang mendapat keputusan cemerlang. Satu permulaan yang terpaksa saya lalui dengan rakan-rakan baru. Pada ketika itu, saya tidak pernah tahu yang untuk berjaya kita perlu pastikan siapa kawan kita, dan buku apa yang kita baca. Ya, setelah membaca buku Your RoadMap To Success, tulisan John C.Maxwell baru-baru ini, saya percaya yang hasil tulisannya itu memang benar.

Pesanan abah agar berkawan dengan orang yang 'betul' menjadikan saya adalah seperti saya sekarang ini. Nasihat abah setiap kali dalam perjalanan pulang dari sekolah turut menjadi momentum utama kejayaan saya. Tidak pernah abah memarahi kami adik beradik sekiranya keputusan peperiksaan tidak baik, bahkan abah selit dengan nasihat berbentuk motivasi. Sengaja abah letakkan frame gambar adik-beradiknya memegang skrol konvokesyen di ruang tamu kami. Kalau ditanya untuk apa? Untuk memberi semangat pada anak-anak abah supaya berjaya sama macam mereka. Supaya anak-anak abah dapat buktikan yang anak seorang pemandu lori JKR boleh menjadi orang yang cemerlang.

Walaupun abah tidak berpelajaran tinggi, tapi teknik didikannya setaraf dengan teknik yang diajar oleh Dale Carnegie, seiring dengan John C.Maxwell.

Alhamdulillah, saya akhirnya belajar semula dalam kelas yang sama dengan kawan-kawan lama, dan mendapat keputusan cemerlang dalam PMR, hingga melayakkan saya memasuki sekolah MRSM yang diimpikan selama ini.

Terima kasih abah sebab mendidik kami adik-beradik menjadi orang yang berjaya. Mendidik anak bukan hanya dengan rotan tetapi dengan mengenal apa tujuan kehidupan.

Saturday, March 10, 2012

Sukar Hamil-Part 2

Oktober 2009
Stress dan saya tidak dapat dipisahkan. Ibarat kata orang "macam irama dan lagu". Pantang silap sikit, pasti mudah terusik. Serius, mereka yang tidak pernah mengalami situasi seperti ini pasti menganggap saya terlalu sensitif. Bak kata penulis Dale Carnegie "walaupun kita cuba memakai kasut orang lain, tapi kita tidak akan dapat merasai bagaimana selesa ataupun tidak memakainya sepertimana yang dirasai oleh tuannya sendiri." Suami dan saya bersepakat untuk pindah ke Desa Petaling bagi mengurangkan sedikit tekanan yang saya alami. Tekanan untuk mendapatkan anak, tekanan menghadapi jalanraya yang sesak setiap kali pergi dan balik dari tempat kerja dan pelbagai lagi apabila disatukan pasti menjadi satu tekanan yang besar untuk saya.

Saya mula mencari tempat untuk berkongsi masalah. Berkongsi rasa dengan rakan yang mengalami masalah yang sama menjadikan saya lebih tenang. Ya ini antara terapi diri yang saya lakukan, setiap hari saya akan melayari sebuah forum di internet. Ia seperti satu kumpulan sokongan untuk memberi semangat kepada mereka yang sukar hamil, bertukar pendapat dan saling memahami antara satu sama lain. Secara tidak langsung, ia dapat meringankan beban yang saya hadapi. Rupanya, bukan saya seorang sahaja yang mengalami masalah ini.

Saya disarankan oleh teman untuk mencuba satu produk kesuburan iaitu Biodex. Beliau sudah berkahwin hampir 7 tahun dan alhamdulillah, apabila menggunakan produk ini beliau telah disahkan hamil. Sangat teruja mendengar kisahnya, saya dan suami nekad untuk mencuba. Kami mengamalkan set lengkap Biodex untuk suami isteri. Rasa syukur sebab suami tidak pernah mengeluh, apatah lagi untuk menyalahkan satu sama lain, tidak sama sekali. Suami sentiasa bersama. Tidak membiarkan saya keseorangan untuk berusaha. Dialah teman rapat tempat saya berkongsi rasa, dia jugalah suami yang sentiasa memberi sokongan. Terima kasih Ya ALLAH kerna mengurniakan suami yang hebat sepertinya.

Hampir terlupa, dalam masa yang sama, saya juga turut melakukan rawatan secara tradisional iaitu berurut. Tapi sebelum berurut, pastikan tukang urut memang benar-benar arif, sebab zaman sekarang ini ramai sangat yang 'palsu', berlakon menjadi tukang urut hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata. Saya berurut dengan seorang bekas jururawat (bidan) yang saya panggil Mak Long di Shah Alam. Rakan yang mengesyorkannya.

November 2009
Satu set biodex telah kami amalkan , namun masih tiada tanda-tanda. Tapi terus berusaha dan percaya pasti ada rezeki untuk kami. Set biodex sudah masuk yang kedua. Dalam masa yang sama, tidak henti-henti bersolat hajat, berdoa moga ALLAH beri saya peluang untuk merasai nikmat mengandung, melahirkan, menyusukan dan membesarkan anak dari benih kami sendiri. Untuk mengambil anak angkat belum masanya lagi, selagi masih ada kudrat, selagi itu saya akan berusaha. Saya juga belajar satu perkara baru mengenai jadual ovulasi. Kebetulan saya ditugaskan ke Sarawak pada bulan lepas, rakan di sana yang mengajarnya. Pengiraan tempoh ovulasi ini tidak sama seperti yang kita belajar dalam subjek sains dahulu. It's totally different. Agak panjang untuk saya terangkan di sini bagaimana pengiraannya. Kalau ada yang ingin belajar, bolehlah tanya pada saya. InsyALLAH, saya memang sangat suka berkongsi. Chewah, macam pakar kesuburanlah pulak hehehe... 

Disember 2009
Kehidupan diteruskan seperti biasa. Cuma agak tenang sedikit sebab perjalanan ke tempat kerja lebih mudah dan jaraknya yang lebih dekat berbanding sewaktu tinggal di Puncak Jalil. Pukul 7.20 pagi bertolak ke tempat kerja dan sampai 7.45 pagi, tidak perlu tergesa-gesa seperti dulu. Pada ketika ini, saya mulai rasa perubahan pada diri. Kerap rasa pedih perut dan suka tidur lepas balik dari kerja. Aduh, teruk betul heheh...Yang pastinya, saya sudah lewat 2 minggu datang 'bulan'. Dalam hati berdoa, moga-moga kali ini ada rezeki untuk kami bergelar "umi" & "abi". Buat ujian UPT (pregnancy test)? oh, tunggu dulu. Saya tidak mahu kecewa lagi sekiranya mendapat keputusan sebaliknya.

Januari 2010
Masih saya ingat tarikh ini 1 Januari 2010 (cuti umum), sebelum solat asar, saya sembunyi-sembunyi membuat ujian UPT di rumah. 1 minit menunggu dalam debaran. Allahuakbar! ada doubleline yang muncul pada strip UPT. Selama 3 tahun, saya tidak pernah mendapat keputusan double line. Saya POSITIF hamil! Syukur Ya ALLAH. Saya tunjuk pada suami, kami menangis, tanda syukur pada kekuasaannya. Solat Asar pada petang itu, amat indah. Terasa damainya. Terima Kasih Ya ALLAH!

Saya khabarkan berita kehamilan ini pada keluarga dan rakan. Semua gembira, rezeki tahun baru kata mereka. 15 Januari 2010, saya mengalami sedikit bleeding. Doktor scan, saya nampak baby saya sangat kecil seperti guli. Doktor nasihat agar saya tidak membuat kerja-kerja berat.

Februari 2010
Saya tidak mengalami alahan yang teruk, muntah pun tidak. Dalam hati bersyukur sebab dipermudahkan. 20 Januari, saya ambil cuti untuk buka rekod mengandung dan membuat rutin check up . Seronoknya! Doktor membuat scan. Tetapi, agak lama kali ini., sehinggakan saya discan oleh  2 orang doktor. Dari raut wajah mereka, seolah ada sesuatu kebimbangan. "Puan, saya minta maaf, saya tidak nampak denyutan jantung anak puan,"kata doktor. "Sepatutnya, puan sudah 11 minggu hamil dan denyutan jantung boleh dilihat. Dari apa yang kami lihat, bayi puan sudah berhenti berkembang sejak usia 7 minggu lagi,"sambung doktor yang lagi satu. ALLAH, saya sebak. Air mata mula mengalir tidak henti-henti. Apalagi dugaan yang perlu saya hadapi kali ini. Diberikan saya merasai saat-saat gembira, kemudian diambilnya kembali. Baby saya sudah tiada nyawa. Patutlah saya tidak pernah rasa loya atau muntah sepanjang kehamilan seperti orang lain. Rupanya, ia adalah tanda yang anak saya telah tiada. Saya meraung, menangis, menyesali dengan apa yang berlaku. 25 Februari, akhirnya bayi saya keluar dengan sendirinya, saya nekad tidak mahu menjalani D&C (cuci rahim), biar saya merasai sendiri kesakitan itu. Walaupun, sudah tidak bernyawa, saya tidak mahu baby ini turut merasai kesakitan sekiranya saya melakukan D&C. Ya, memang sakit. 8 jam saya bertarung kesakitan, seolah rasa sakit bersalin. Moga ALLAH ampunkan saya, sepertimana ALLAH ampunkan dosa ibu yang melahirkan. Saya redha.

Mac-April-Mei-Jun 2010
Kami teruskan kehidupan seperti biasa. Satu tempoh yang agak lama untuk saya tenangkan jiwa, untuk saya kembali gembira seperti biasa. Seringkali suami ingatkan pada saya yang dugaan itu pasti ada hikmahnya. Keluarga juga antara yang paling banyak memberi sokongan.

Julai 2010
Set biodex saya amalkan kembali. Ikutkan rasa hati, sudah tidak larat untuk saya menelan bancuhan produk biodex ini setiap hari, namun saya masih meletakkan keyakinan yang satu hari nanti ALLAH pasti memberi saya peluang lagi. Tidak lupa juga, kami turut mengamalkan ayat 38, surah Ali-Imran "Wahai Tuhanku kurniakan kepadaku zuriat keturunan yang baik-baik, sesungguhnya Engkau Maha mendengar doa". Juga surah Al-Anbiya ayat 89, "Wahai Tuhanku, jangan lah Engkau biarkan daku sendirian lagi tanpa zuriat, dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi".

Ogos 2010
Memang hobi kami berdua makan angin. Pantang hari minggu, pasti ada sahaja rancangan kami. Projek kali ini pergi melancong ke Jakarta dan Bandung-family trip. Sangat seronok sebab pergi satu keluarga, ala-ala rombongan Cik Kiah gitu hehe...ramai sungguh orang pada masa ini, mungkin sebab mengambil peluang bercuti sebelum bulan Ramadhan agaknya. Bercuti juga menjadi antara terapi diri bagi menghilangkan stress. Tak percaya? Cubalah :)

Ramadhan adalah bulan yang penuh rahmat, peluang untuk mencari keberkatan, membersihkan jiwa yang kotor dan memohon agar segala doa dimakbulkan. Hari demi hari, Ramadhan sudah hampir ke penghujung. Alhamdulillah saya berjaya berpuasa penuh bulan itu. Jeng..jeng..jeng, saya masih belum datang "bulan" lagi! Adakah???Allah, kami serahkan segalanya kepada-Mu. Moga engkau makbulkan permintaan kami suami isteri. Ameen...

ALLAH Maha Besar, sekali lagi diberikan saya peluang untuk merasai nikmat itu. Ya, nikmat untuk bergelar seorang umi. Ramadhan yang cukup bermakna buat kami. Syukur Ya ALLAH, saya disahkan hamil lagi sekali!!!kami menangis, tangisan yang penuh pengharapan. Moga bayi ini membesar dengan rahmat, sihat dan sempurna hingga saya dapat melahirkannya pada 9 bulan yang akan datang.

Saya ringkaskan antara amalan-amalan yang saya amalkan sebelum disahkan hamil selain bersolat hajat:
1- amalkan doa dari surah yang saya berikan tadi setiap hari
2- pengambilan set biodex (suami-isteri)yang konsisten serta disiplin
3- penjagaan pemakanan iaitu saya tidak mengambil langsung minuman yang berkafein seperti kopi, nescaya dan teh
4- saya beri suami makan 2 biji half boil egg setiap pagi (sekarang suami sudah tidak lalu untuk makan) hehe
5- berurut dengan tukang urut yang sepatutnya
6- pengambilan asid folik setiap hari
7- bergi melancong atau lakukan aktiviti luar untuk kurangkan tekanan

Bagi readers yang sedang berusaha tetapi masih lagi tidak menunjukkan hasil, jangan bersedih dan berputus asa, sentiasa bersangka baik dengan pencipta, kerna setiap sesuatu yang diaturkan pasti ada hikmahnya. Percayalah, kepayahan yang diaturkan ini menjadikan saya seorang ibu yang lebih menghargai dan bersyukur dengan pemberianNYA...

Wednesday, March 7, 2012

Sukar Hamil

Asalamualaikum w.b.t

Seperti yang dijanjikan, saya ingin berkongsi kisah pahit duka ketika berusaha mendapatkan zuriat sendiri. Harap kisah ini dapat memberi inspirasi dan semangat kepada mereka yang sedang berusaha mendapatkan anak. Usahlah berputus asa, teruskan usaha, yang penting bersangka baik pada Yang Maha Kuasa. Saya ingin petik kata-kata dari Prof Muhaya yang saya dengar melalui siaran radio IKIM tengahari tadi, "anak adalah hadiah dari ALLAH, setiap orang pasti mendapat hadiah dariNYA, cuma ia datang dari bentuk yang berbeza".

Mei 2007
Saya menjadi seorang isteri yang sah. Kami menyewa di Puncak Jalil. Alhamdulillah, kehidupan yang agak selesa, kerana mampu menyewa rumah 2 tingkat dengan harga RM 500 pada ketika itu. Perjalanan dari rumah ke tempat kerja agak meletihkan, kerana hari-hari terpaksa menempuh jalan jem yang sangat dasyat. Keluar seawal 6.30 pagi, balik rumah pula sekitar 6.30 petang.

Mei 2008
Kami sambut 1st anniversary di menara Kuala Lumpur. Rezeki lebih bulan itu. Kalau tidak mungkin sambut di kedai mamak agaknya hehhe...Walaupun rasa gembira, tapi tetap rasa kosong. Ya, kami masih lagi tidak mempunyai anak. Rakan lain yang berkahwin kemudian dari saya telah mendapat anak seorang, tapi kami masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda. Mula rasa risau, walaupun ramai yang menasihatkan agar kami bersabar.

Januari 2009
Cuba menyibukkan diri dengan kerja dan aktiviti luar agar tidak memikirkan soal anak. Kami masih lagi tinggal di Puncak Jalil. Bermain dengan emosi sendiri, pantang disoal "bila hendak ada anak sendiri?", "korang merancang ke?", aduh saya paling benci dengan soalan seperti ini. Kenapalah mereka-mereka ini sibuk bertanya saya soalan sedemikian. Jika anak itu boleh dibuat seperti a.b.c, sudah pasti ianya mudah. Saya kerap menangis sendirian. Menyalahkan takdir, saya lupa, setiap sesuatu kejadian itu telah diatur oleh ALLAH dan ada hikmahnya. Saya kufur nikmat. Lupa akan adanya nikmat-nikmat lain yang ALLAH telah berikan. Keluarga bahagia, suami yang sempurna, makan-pakai yang cukup. Tapi adakah saya bersyukur? Moga ALLAH ampunkan saya.

Jun 2009
Setelah 2 tahun usia perkahwinan, kami mengatur appoinment dengan doktor di LPPKN. Sudah sampai masanya untuk kami berusaha mencuba kaedah-kaedah perubatan moden. Nekad untuk tidak hanya berserah kepada takdir, bertawakal tanpa berusaha adalah konsep yang salah. Sedangkan Nabi Zakaria turut diuji lambat mendapat zuriat inikan pula kita manusia biasa. Nabi Zakaria tidak putus-putus berdoa agar dikurniakan zuriat dan akhirnya di usia 90 tahun, beliau dikurniakan seorang putera iaitu Yahya.

Kisah kami suami isteri pula bagaimana? Doktor menyarankan kami melakukan prosedur IUI (tidak perlu saya jelaskan di sini, anda boleh mencarinya di google heheh), Ya, suatu prosedur yang amat menyakitkan, namun saya nekad untuk lakukan dek kerana keinginan untuk menjadi seorang ibu yang membuak-buak. Pengalaman bagi seorang wanita yang terpaksa melalui saat-saat sukar hanya kerana niat yang satu iaitu untuk memberi zuriat kepada suami. Moga suami-suami di luar sana, menghargai isteri masing-masing dan anak-anak tolonglah hargai ibu anda.

Manusia hanya mampu berusaha, tapi rancangan ALLAH lagi hebat. Prosedur IUI kami gagal. Saya menangis. Menangis atas dugaan ini. Suami juga nampak kekesalannya. Kami redha. Kami ambil langkah berehat sebentar dengan pergi bercuti, menghargai masa berdua, melupakan segala masalah yang ada.

Oktober 2009
-to be continue-

Sunday, March 4, 2012

Resepi mak

Assalamualaikum w.b.t

Fuh, setelah 3 hari memerah otak, akhirnya selesai sudah sesi pengeditan soalan exam. Minggu yang sangat mencabar. Time orang lain rehat untuk makan pukul 10 am, saya pun makan juga, tapi makan sambil pam susu sambil edit soalan. Macam mana tu? Kalau mau pasti bolehkan? Saya angkut laptop ke surau, sebab bilik pengeditan itu ada orang lelaki, then buatlah aktiviti MPE (makan-pam-edit soalan). Time lunch pun sama. Memang sangat meletihkan. Tapi semua itu tolak ke tepi, yang penting, saya dapat bekalkan susu yang berkhasiat untuk Iman Khalish sampai usia 2 tahun.

Hari ini, saya hendak kongsi 1 resepi yang sesuai diamalkan semasa pantang, khususnya untuk ibu-ibu yang hendak tambah susu badan. Resepi ini, mak yang buatkan sewaktu saya berpantang dulu. Memang sedap tau hehehe. Jom layan.
Bahan-bahan:
1- 1 batang lobak susu dipotong bulat-bulat
2- setengah biji bawang besar
3- 1 ulas bawang putih
4- sedikit lada hitam (5-8 biji kalau suka pedas, tambahkan lagi)
5- sedikit ikan bilis
6- sehelai daun kunyit
7- secubit garam

Cara memasak:
1- tumbuk bahan 2-5 (ikan bilis jangan terlalu lumat)
2- rebus lobak susu sampai lembut
3- buang air rebusan, masukkan semula air yang baru
4- rebus sekali lagi dan setelah mendidih masukkan bahan 2-5 yang telah ditumbuk
5- masukkan daun kunyit yang telah dihiris kasar
6- masukkan garam untuk menambah rasa.

Siap untuk dihidangkan bersama ikan kembung goreng. Makan ketika lauk masih panas memang bagus untuk ibu yang sedang berpantang,selamat mencuba! Next entri saya kongsi resepi lain pula...