Assalamualaikum w.b.t
Ramadan bakal meninggalkan kita dalam beberapa hari lagi. Alhamdulillah diberi kesihatan dan kesempatan untuk melaluinya hingga ke saat ini. Menyusukan anak menjadikan saya lebih bertanggungjawab untuk bangun sahur. Walau terlewat macam mana pun saya akan pastikan air di minum beberapa gelas. Bimbang nanti produksi susu berkurangan akibat dehidrasi. Syukur, ALLAH kurniakan amanah pada saya- Iman Khalish supaya saya menjadi manusia yang lebih menyempurnakan suruhanNYA dan dapat menunaikan tanggungjawab kepada keluarga.
Bangun malam bukanlah perkara yang mudah, apatah perlu bangun untuk memasak. Tetapi saya ambil sebagai cabaran dalam memperbaiki diri. Di awal Ramadan lagi, saya telah berniat untuk menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna. Moga ALLAH hitung segala amalan kita terutamanya bagi ibu-ibu yang terpaksa melalui beberapa siri bangun malam sebelum tiba waktu sahur kerana menyusukan anak. Saya yakin ada ganjaran yang menanti. Saya mohon juga agar ALLAH beri saya peluang untuk menyusukan Iman Khalish hingga usianya 2 tahun, bimbang juga kerana episod kekurangan stok susu ebm sedang melanda saya. Sebak!
Si hero semakin lasak. Pantang ada kemahuannya tidak diperolehi, mulalah bergolek satu rumah, tanda protes. Setahun tiga bulan adalah fasa di mana anak sedang menyerap segala apa yang dilihatnya. Kata suami, Iman kuat merajuk seperti uminya, tetapi cute macam abinya. Sabar jerlah. Tang baik semua serah pada orang lelaki kan? Heheh...tetapi saya tidak ambil hati, tahu yang suami hanya bergurau.
Yang pastinya saya tidak sabar untuk membawa Iman pulang kampung menyambut Syawal. Sebut pasal sambutan Syawal, saya yakin abah antara orang yang paling sibuk ketika ini. Bawa nenek membeli daging dan barang keperluan. Kalau dulu, sewaktu usia saya masih angka single, saya pernah mengikut abah mencari kayu untuk dibuat kayu api buat memasak ketupat. Masa itu dapur gas sudah wujud, tetapi nenek masih memasak ketupat menggunakan kayu api. Seronoknya! Ada shift orang yang akan menjaga, bimbang nanti air rebusan ketupat kering. Sekarang ini teknologi telah merubah segalanya. Tiada lagi daun ketupat yang dianyam. Semuanya segera. Masak 10 minit sudah siap. Argh, langsung tidak meninggalkan sebarang pengalaman dan memori untuk generasi sekarang. Sebab itu ikatan kekeluargaan zaman dulu lebih utuh dan rapat. Dibandingkan sekarang, jauh panggang dari api. Ikatan sedara lebih utuh dengan iPad, Samsung galaxy, S2, S3 dan macam-macam lagi.
Peranan ibubapa sangat penting dalam mendidik anak. Two thumbs up saya berikan buat abah dan mak kerana banyak mendidik saya erti nilai murni dan kekeluargaan. Tiada wang ringgit atau iPad diberikan kepada kami, tetapi bekalan ilmu dan nilai murni yang membezakan kami dengan yang lain. Masih saya ingat, abah akan pastikan apabila ada tetamu atau sedara mara yang datang ke rumah, WAJIB setiap dari kami bersalam dan duduk bersama. Tiada istilah duduk berkurung di dalam bilik atau di dapur. Biarlah kami tidak boleh mencelah perbualan mereka asalkan kami duduk dan mengenali tetamu. Ya, abah sangat mengalu-alukan tetamu yang datang. Walaupun kadang-kadang makanan yang ada cukup-cukup untuk kami anak beranak, tetapi abah akan dahulukan mereka. Abah kata, tidak mengapa tetamu datang membawa berkat. Pada ketika itu, saya tidak dapat memahami maksudnya, tetapi kini saya jelas.
Saya akan menggunakan metodologi yang sama dalam mendidik anak-anak. Walaupun bersalaman itu tampak remeh, tetapi ia mampu memberi genjatan yang kuat dalam kekeluargaan, menjadikan anak hormat orang tua, sedara mengenali sepupunya, cucu mengenali atuknya, anak sedara mengenali pakcik makciknya (as long as muhrim) Bukan apa, disaat hari terakhir kita nanti, mereka-mereka inilah yang akan memenuhi ruang rumah dan berdoa untuk kita bukannya encik iPad dan puan Samsung itu.
Jadi untuk Syawal ini, HARAMKAN anak-anak menggunakannya, especially di malam dan pagi Syawal. Perbanyakkan bertakbir dan berziarah kaum keluarga. Perkenalkan anak-anak dengan sedara mara dan tetamu yang berkunjung. Moga hasilnya akan kembali pada kita jua insyALLAH
0 comments:
Post a Comment