Tuesday, July 2, 2013

Erti pada tangan yang memberi.

Assalamualaikum w.b.t

Menyusuri perjalanan untuk mencari Rumah Kasih Harmoni (RKH) a.k.a rumah perlindungan, hati terdetik mana mungkin di celah-celah rumah yang agak mewah di Keramat ini ada terletak rumah perlindungan kanak-kanak. Beberapa kali saya rujuk pada pesanan sms yang dihantar oleh Ustaz Zahari (pengasas) yang memberi alamat penuh rumah tersebut, rakan (fida) di sebelah masih sibuk menekan keypad di telefon bimbit menggunakan perisian moden untuk mencari lokasi sebenar RKH. Alhamdulillah, urusan dipermudahkan petang tadi kerna kami akhirnya menjumpai tempat yang dicari-cari. Sebelum ini, hanya berhubung dengan pihak RKH melalui sms dan setelah beberapa kali misi untuk berziarah ke sini tertangguh dek kesibukan dunia, saya cuba juga untuk bertemu dengan anak-anak RKH.



Mesti ada yang tertanya-tanya, siapa anak RKH ini. Eventually, mereka adalah anak-anak yang perlu dibantu, anak-anak yatim, anak dari keluarga yang susah, and even ada di kalangan anak ini terpaksa membesar di sini kerana ibu mereka terpaksa merantau jauh untuk mencari rezeki. Sebak melihat nasib yang dialami, sedangkan kita di luar sini sibuk meratapi kehidupan yang kononnya masih belum cukup, padahal setiap minggu pasti drive through di KFC, makan mewah-mewah, bersilih ganti membeli tudung untuk dipadankan dengan baju yang hampir membuak di dalam almari. Itu pun masih tidak cukup.

Anak-anak ini, makannya berkongsi di dalam dulang. Tidur beralaskan tilam hasil bantuan ehsan orang lain. Ada seorang anak kecil yang usianya sama seperti Iman Khalish iaitu 2 tahun, tetapi sudah diajar untuk memakai baju sendiri dan terpaksa dilatih untuk tidak memakai pampers bagi mengurangkan kos. Hebatnya anak-anak ini, melalui zaman kecil tanpa kasih sayang ibubapa. Tapi anak saya cukup beruntung, masih dapat merasa untuk tidur diulit rasa sejuk air-cond di kala anak-anak ini tidur kepanasan akibat serba kekurangan. Anak ini rajuknya tiada siapa yang pujuk, anak kita, rajuknya disogok dengan aiskrim dan mainan.






Kengkadang kita terlupa, yang sebahagian daripada duit/harta kita perolehi adalah milik mereka yang perlu dizakatkan. Kita juga terleka yang setiap apa yang ALLAH kurniakan ini adalah pinjaman semata-mata. Kata ustaz di radio IKIM, cuba perhatikan sos cili, kicap yang ada di rumah, semuanya  ada tarikh luput, begitu juga dengan kita. Mengapa perlu hidup di dunia dalam keadaan bermegah dan lupa untuk berkongsi pada yang memerlukan. Bukankah ini akan menjadi saham kubur kita nanti 
selain ilmu yang bermanfaat, doa anak yang soleh adalah amal jariah sewaktu hidup.

Maaf, sekadar berkongsi dan peringatan untuk diri sendiri jua. Moga bulan Ramadhan yang bakal menjelma menjadikan kita manusia yang lebih mensyukuri dan memberi. Cukup sekadar perkongsian ringkas ini, jika ada sahabat yang ingin turut serta membantu dalam "projek sharing RM1" boleh maklumkan kepada saya. Rakan saya difacebook yang ramai bilangannya, jika setiap seorang memberi RM 1, saya jangka sekiranya dikumpul, kita mampu untuk meringankan beban mereka. 

Ikhlas
Umi of Iman Khalish (she_za2267@hotmail.com /0169083017)