Assalamualaikum w.b.t
Beberapa minggu lepas, lagi sekali kami diduga apabila litter star dimasukkan ke wad akibat viral pneumonia. 4 hari saya bermukim di HUKM, mujur kali ini suami dibenarkan untuk menunggu tapi hanya 2 malam, tetapi selepas itu nurse dah sound supaya saya seorang sahaja yang boleh menunggu. Adatlah bila masuk wad di hospital kerajaan memang takde maknanya nak jaga beramai-ramai (walaupun hakikatnya HUKM is a half private-government hospital).
Pagi sebelum iman dimasukkan ke wad, lebih kurang jam 1.15 pagi, kami terjaga dari tidur disebabkan Iman Khalish batuk kuat serta badanya terlalu panas akibat demam. Risau melarat lebih teruk, kami segera ke HUKM dan seperti dijangka, bahagian emergency seperti uptown, sungguh meriah dengan pesakit yang ramai. Pasrah dengan situasi begitu, sebab kami yakin di sini Iman akan dirawat sepenuhnya.
Iman Khalish ditempatkan di wad 4A, berbeza dengan keadaan di Pusrawi sebelum ini. Tiada bilik single, double atau triple, semuanya sama. Tetapi ruang antara katil ke katil sangat luas, dan dipisahkan oleh sebaris langsir. Okylah sebab boleh solat di situ, tidak perlu untuk ke surau. Walaupun sakit, alhamdulillah Iman tetap aktif. Di awal pagi, sudah satu wad Iman ronda dan terokai.
Tiba di satu sudut berhampiran dengan ruang menonton televisyen Iman terhenti disitu. Agaknya kagum melihat beberapa katil yang penuh dengan mainan kanak-kanak. Ada 4 katil yang penuh dengan mainan, seolah anak-anak itu sudah lama di sini. Hati tersentap bila saya terbaca satu nota ringkas yang digantung di katil salah seorang pesakit di situ, "hai, saya amat menghargai kehadiran anda di sini, silalah berkomunikasi dengan saya dengan melambaikan tangan ke arah saya"....Ya, anak-anak ini berbeza dengan yang lain kerna mereka adalah anak dari Rumah Kebajikan! Yang tiada ibubapa atau saudara mara. Allahurabbi, agaknya ini hikmah yang ALLAH ingin tunjukkan pada saya. Baru sedikit saya diduga, sudah mengeluh, menangis dan hampir putus asa. Tetapi anak ini, langsung tidak tahu dari mana asal usulnya masih tegar melawan kesakitan untuk meneruskan hidup.
Sedap nama yang diberi, Aleesya. 4 hari di sini, Iman sudah bersahabat baik dengannya. "Sha, Sha nak kut?, " kata Iman Khalish. (Kut= biskut). Anak-anak kecil bijak berkomunikasi, sekali sekala saya melambai ke arah anak ini dan dibalas kembali dengan lambaian kecil dan gelak ketawa. Sudah 7 bulan Aleesya dimasukkan ke wad akibat jangkitan pada paru-paru. Maknanya, hampir setahun anak ini membesar di dalam katil yang bersangkarkan besi. Tiada istilah playground dalam hidupnya, tiada bubur ayam yang dimasak enak, tiada pelukan mesra dari ibu bapa, yang ada hanyalah pelukan ihsan dari nurse yang merawat.
Mudah sungguh air mata saya mengalir, menangisi akan nasib anak ini. Insaf dengan hikmah yang ALLAH cuba tunjukkan supaya kita belajar dan bukan sahaja hanya melihat. Saya lupa, jika saya susah, masih ada lagi orang yang lebih..lebih...lebih susahnya. Jika Iman Khalish menangis akibat sakit, saya masih boleh mendukungnya, memujuknya, meletakkan minyak angin untuk melegakan sedikit batuk, tapi Aleesya, tangisnya tiada siapa yang pujuk dan akhirnya anak ini diam sendiri, tertidur akibat kepenatan menangis. Allah, moga anak ini segera sembuh dan lihatlah remaja di luar sana yang sedang berrmanja mesra dengan kekasih hati, anak ini dilahirkan akibat kerakusan kamu, ditinggalkan di dalam semak lalu dibesarkan di rumah Kebajikan. Betapa sakitnya melihat anak ini membesar atas dosa yang telah kamu lakukan.
Sekadar peringatan atas diri sendiri jua, ilmu yang saya ada dan kesenangan yang saya perolehi akan saya kongsi bersama mereka yang memerlukan. Dugaan yang ALLAH aturkan buat saya adalah untuk saya pelajari dan perbaiki. InsyALLAH, saya akan meneruskan perjalanan keretapi master saya dengan menjadikan kisah ini sebagai pembakar semangat dan jika ALLAH izinkan, saya akan terus membantu dan berkongsi nilai yang saya perolehi dengan anak-anak ini. InsyALLAH....
0 comments:
Post a Comment