Monday, November 12, 2012

Signification in parenting

Assalamualaikum w.b.t

Memang sudah menjadi hobi saya dan suami untuk keluar berjalan pada hujung minggu. Paling tidak, keluar makan di kedai mamak berhampiran rumah pun sudah memadai untuk kami melepaskan gian berjalan. Iman Khalish sudah mula mengikut jejak langkah kami. Pandai mengambil tudung dan diberikan pada saya sambil mulut dimuncungkan ke arah pintu, tanda ingin keluar. Petah mulut menyebut 'umi, umi...nk lan" (lan= jalan) hihii...iman tahu, jika uminya mengenakan tudung, itu tandanya saya akan keluar rumah. Anak-anak kecil pun bijak menilai dan menginterpretasi apa yang dilihatnya.

Bukan salah anak-anak jika mereka berkelakuan sebegitu. Mereka persis mesin photostat atau scanner yang akan membuat 100 % salinan daripada salinan induk. Pada ketika ini, kita boleh lihat anak mampu menunjukkan tanda protes, meminta apa yang diinginkan, memahami arahan yang diberikan serta menyambung hujung doa dan lagu jika dipinta. Comelkan? Peranan ibu bapa harus terus menerus memberikan sokongan positif.

Jika anak tidak melakukan seperti yang disuruh jangan kerap mengugut. Oh, saya tidak gemar melihat ibubapa yang mengugut anak dengan tidak mahu memberi susu jika anak tidak mendengar kata. Ada banyak lagi perkara yang boleh diugut selain tidak mahu memberi atau menyediakan susu. Contohnya, jika anak tidak mahu mandi, boleh katakan bahawa "nanti badan kakak busuk, macamana hendak ikut mama pergi jalan" , instead of mengugut dengan tidak mahu memberi makan atau minum.

Kita kadangkala tidak adil menilai dan menghukum anak-anak. Meminta dan mengarah anak membuat sesuatu berulang kali sedangkan kita tahu yang anak itu sedang menonton cerita cartoon kegemarannya. Cuba jika anak meminta berulangkali membuat sesuatu, sedangkan kita sedang sibuk, apa jawapan kita agaknya? "cakap sekali boleh tak?tidak nampak ke yang mama tengah sibuk?". Wah, pandai pula meminta anak tidak mengulang arahan berkali-kali. Situasi anak pula bagaimana? Kalaulah mereka boleh menjawab pasti mereka pun akan berkata benda yang sama. "Cakap sekali boleh tak? Tidak nampak ke kakak sedang tengok cartoon kegemaran kakak?". Nah, lihat. Anak belajar dari persekitaran. Jika kita suka menangguh membuat kerja, jangan mimpikan anak kita membuat kerja dengan segera.

Menghukum atau mengugut anak jangan sampai keterlaluan. Perlu mencari waktu yang sesuai untuk memberi arahan supaya anak dapat mendengar dengan baik. Jika menurut pembacaan saya menerusi buku Prophetic Parenting- cara Nabi mendidik anak, ada 3 waktu yang sesuai memberi arahan atau nasihat iaitu ketika dalam perjalanan, ketika waktu makan dan ketika anak sedang sakit.

Memang benar, seingat saya dulu, abah seringkali menasihati saya supaya rajin belajar setiap kali dalam perjalanan pulang dari sekolah. Duduk membonceng di atas motosikal abah yang bunyi enjinnya satu jalan Mawar (jalan umah saya) boleh dengar, abah acap kali memberi nasihat agar saya menjadi manusia yang cemerlang. Pendidikan non-formal tapi boleh ditafsir dengan mudah dan diterima dengan hati yang terbuka.

Ilmu dalam mendidik anak perlu dicari, bukan sahaja sibuk mengumpul koleksi bilangan anak, tetapi kualiti yang perlu diserap pada mereka. Moga ALLAH menjadikan kita sebagai ibubapa yang berkualiti dan berpotensi membentuk anak yang soleh dan solehah. Ameen....