Tuesday, September 22, 2015


[Travelog kembara hati]



Acapkali persolan yang timbul apabila ada saudara atau rakan yang kembali dari mengerjakan ibadah umrah/haji iaitu seronok ke? Apa yang seronoknya? Pasti mereka menjawab “memang seronok, seronok sebab dapat membuat ibadah!”. Jawapan yang saya sendiri tidak pasti kesahihannya.

Habis tu mengapa setelah kembali, konsistensi ibadah itu tidak diteruskan? Aurat tidak dijaga seperti di sana? Perbuatan dan bicara kadangkala tidak mengambarkan yang kita baru kembali dari menjadi tetamuNYA? Inilah antara perkara yang saya geruni akan berlaku pada diri sendiri apabila kembali menjejakkan kaki ke bumi Malaysia. Mencari konsistensi. Ya benar! Tidak semua yang kembali dari mengerjakan ibadah haji dan umrah menonjolkan diri sebagai "manusia baru". Malahan ada yang lebih teruk dari sebelum mereka ke sana.

Persoalannya, apakah segala amal ibadah yang dibuat tidak selari dengan niat yang dipacak di hati? Apakah cukup apabila pergi ke sana, menyelesaikan ibadah wajib, berselfie di hadapan Kaabah sebagai bukti kehadiran di sana, kemudian kembali duduk bertapa di hotel, berborak dan merokok, membeli belah hinggalah tamat hari terakhir di sana mampu menjadikan kita ibarat bayi yang baru dilahirkan, suci sesucinya? Bukankah itu yang dijanjikan kepada kita, apabila melakukan tawaf ALLAH akan ampunkan dosa kita, kemudian ibadah saie itu sendiri akan menyucikan diri kita daripada dosa.

Jadi mengapa mahu merugikan diri, mengeluarkan belanja besar untuk ke sana tetapi hasil pulangannya tetap sama, tiada perubahan? Memang sahih, untuk berubah tidak perlu tunggu untuk pergi umrah/haji, di Malaysia pun manusia boleh berubah, semua tergantung pada kehendak dan kemahuan diri. Namun, alangkah manusia itu terlalu sombong, diberikan ALLAH jalan pintas untuk memperbaiki dan mensucikan diri, tetapi jalan yang jauh serta berliku pula yang suka diikuti. Moga tulisan ini tidak menjadikan saya riak, malahan menjadikan saya sebagai manusia yang lebih bersyukur. Astargfirullah...

Alhamdulillah pengalaman yg selama ini hanya didengar dari mulut org bercerita tetapi apabila dapat merasainya sendiri tambahan lagi menjadi tetamunya pada bulan Ramadhan adalah penuh rasa syukur dan seronok. Gambarannya jika dapat ditafsir dgn ayat mudah adalah lebih baik jika pergi sewaktu usia muda, badan masih kuat untuk membuat tawaf, saie, bersolat serta berdoa di tempat-tempat yang mustajab doanya serta merasai untuk cium hajarul aswad dalam keadaan manusia berpusu-pusu untuk merebut ganjaran yang dijanjikanNYA.

Terpilih menjadi tetamunya di usia 33 tahun adalah satu nikmat. Bahkan sebenarnya jemputan itu telah ALLAH hantar 3 tahun sebelum ini iaitu sewaktu kami membuat yearly planning. Antara yang kami tulis adalah menunaikan ibadah umrah & haji dalam tempoh 2-3 tahun. Tetapi catatan itu hanya tinggal kenangan kerana kami tidak bersungguh-sungguh berdoa dan berusaha pada masa itu. Malahan suami baru mendaftar diri setahun yang lepas di Tabung haji untuk ibadah haji dan mendapat giliran di usia 75 tahun. Kegilaan apakah ini? Masih mahu menunggu usia 75 tahun baru hendak menjadi tetamuNYA? Saya tidak pasti adakah pada ketika itu, umur kami masih panjang atau kami masih sihat untuk membuat tawaf dan saie sendiri tanpa bantuan orang lain.

Tidak teringinkah kita untuk dapat mengerjakan tawaf terlalu hampir dengan Kaabah, tidak teringinkah untuk bersolat dan berdoa betul-betul di hadapan multazam, di Hijr Ismail, di bawah pancuran emas dan di Makam Nabi Ibrahim?



Sedang manusia bertolak-tolakkan dan berebur-rebut untuk dapat bersolat dan berdoa di situ, tetapi kita hanya mampu melihat Kaabah sayup-sayup dari kejauhan dek kerana badan yang tidak kuat untuk membawa diri akibat usia yang sudah menjangkau waktunya.

Justeru, izinkan saya mengesyorkan kepada pembaca semua agar senantiasa memasukkan di dalam doa supaya dipanggil menjadi tetamuNYA di usia muda. Bahkan adalah tidak mustahil sekiranya meletakkan sasaran umur yang kita hajati di dalam doa. Percayalah, ALLAH maha mendengar lagi Maha memakbulkan permintaan hambaNYA. Itulah kuncinya, berdoa dan terus berdoa. Saya percaya, suami adalah antara orang yang senantiasa berdoa agar kami dapat menjadi tetamuNYA di usia muda. Tidak seperti saya, yang selalu "terlupa" untuk menyelitkannya di dalam doa sebelum ini. Moga ALLAH ampunkan dosa saya.

Alhamdulillah, kehadiran saya di rumah ALLAH telah merubah persepsi saya sebelum ini. Saya tidak akan menunggu usia tua untuk mengerjakan ibadah haji. Moga ALLAH makbulkan doa saya dan suami untuk menjadi tetamuNYA bagi mengerjakan ibadah haji pula. 

"Sungguh aku rindukan rumah Mu, 
di sana aku senantiasa gembira, tiada hal dunia dibicara, 
Sungguh, di sana mulut dan perilaku ku terjaga,
Aku letih dengan urusan dunia, hingga aku lupa berbicara dengan Mu,
Ampunkan dosaku Ya Allah".


InsyaAllah doakan agar perkongsian menjadi tetamu Allah ini dapat segera dibukukan dan memberi manfaat pada ramai orang.

Salam Aidiladha buat semua...


Friday, February 6, 2015

Ziarah Amal Kemboja-Part 2

[Ziarah Amal di Kemboja-part 2]
Assalamualaikum wbt

Pantas jari mencatat setiap butir bicara yang keluar dari mulut empunya diri sewaktu dalam perjalanan ke Kampung Wami, Cambodia. Bukan mudah untuk bertemu insan istimewa ini, justeru  setiap satu mutiara katanya saya catat rapi-rapi di atas skrin telefon bimbit. Aduih, ini masalahnya. Sering kali lupa untuk membawa buku nota kecil. Moden macamana pun, saya masih gemar menulis menggunakan pena, lebih dekat dengan hati berbanding mencatat di atas skrin telefon, itu pendapat saya, tidak pasti orang lain pula bagaimana.

Suara dan raut wajahnya sungguh tenang membuka bicara. Saya memang ternanti-nanti saat ini, bahkan pasti akan merindui mendengar tazkirah ringkas dari beliau selepas tamat ziarah ini. Ya, Tn Hj Azam, abah kepada Ahmad Ammar, seorang insan yang baru saya kenali, tetapi terasa kuat benar sinar auranya. Mampu menarik banyak hati untuk belajar mencari apa sebenarnya tujuan hidup. Ideanya cukup jelas, hidup mewakafkan diri untuk ummah, membantu memberi manfaat pada semua orang tanpa mengharapkan penghargaan manusia. Keyakinannya pada Kuasa Illahi mengatasi segalanya. Benteng takwa dan redhanya cukup teguh, hinggakan walau diuji dengan kehilangan permata hati, beliau tetap redha. MasyaALLAH, adalagi manusia sehebat ini di zaman yang semakin materialistik.
Mendengar kisah Ali bin Muwaffaq , akhirnya kami tewas dalam linangan air mata, apatahlagi apabila melihat  ‘si pencerita’ menyusun kata dalam sebak, beliau jelas mengambil ibrah melalui kisah ini. ALLAH! ALLAH!
Tn Hj Azam, Alfin serta penduduk Kampung Wami- Alhamdulillah, lebih 20 penduduk Kampung Wami disyahadahkan sewaktu kami tiba 
Usai menyantuni ibu ini. Alhamdulillah diberi peluang untuk duduk bertemu lutut dengannya mengajar ilmu asas agama seperti bacaan Al-Fatihah dan berwuduk. ALLAH! tidak pernah saya sangka diberi kepercayaan & peluang untuk berkongsi manfaat dengan mereka. Terima Kasih ALLAH

Diceritakan suatu ketika dahulu ada seorang pembesar iaitu Abdullah bin al-Mubarak bermimpi selepas beliau menunaikan ibadah haji melihat 2 malaikat sedang berbicara.
“Ada berapa ramai Jemaah yang datang mengerjakan haji pada tahun ini?”, tanya malaikat kepada malaikat yang lain.
“600,000,” jawab malaikat.
“Berapa banyak dari mereka yang ibadah hajinya diterima?” tanya malaikat itu lagi.
“Tidak satu pun..melainkan hanya ibadah haji seorang tukang kasut di Damaskus yang dipanggil Ali bin Muwaffaq yang diterima, bahkan berkat dialah ibadah seluruh jemaah diterima oleh ALLAH,jawab malaikat tadi.

Terjaga dari tidur, Abdullah ibnu Mubarak terus mencari siapakah gerangan Ali bin Muwaffaq yang diceritakan dalam mimpinya. Akhirnya beliau berjaya menemui Ali setelah lama mencari. Justeru beliau menjelaskan mimpinya dan bertanya apakah amalan beliau hinggakan hajinya diterima, tetapi tidak pada haji jemaah yang lain.

Mendengar kata-kata Abdullah ibnu Mubarak, Ali bin Muwaffaq sangat terkejut lantas menjawab bahawa beliau tidak pergi menunaikan ibadah haji pada tahun itu. Setelah 40 tahun mengumpul wang hasil kerja tukang kasut, memang Ali memutuskan untuk ke Mekkah, tetapi ditakdirkan suatu hari isterinya yang sedang sarat mengandung terbau masakan yang harum dari rumah jiran berhampiran lalu menyuruh Ali bin Muwaffaq memintanya walau sedikit dari jirannya akibat terlalu ingin merasanya. Sewaktu beliau menjelaskan hasrat isterinya kepada jiran tersebut, tiba-tiba jiranya terus menangis kemudian menjawab “Makanan ini halal bagiku, tetapi haram bagimu. Sudah 3 hari anak ku tidak makan apa-apa, tetapi hari ini aku melihat ada bangkai seekor keldai yang mati dihadapan rumah, lalu aku mengambil dan memasaknya,’’kata wanita itu dalam tangisan.

Sebak Ali mengetahui kisah itu, beliau kemudiannya kembali ke rumahnya dan terus mengambil wang yang telah disimpan lama untuk ke Mekah lalu diserahkan semuanya kepada wanita tersebut.

“Belanjakan wang ini untuk anakmu”, kata Ali. “Inilah perjalanan hajiku,”bisik hatinya.
Memang jelas dan nyata benar mimpiku kata Abdullah ibnu Mubarak setelah mengetahui kisah Ali.

Kisah yang sesuai dijadikan ibrah buat kita semua. Pertolongan yang benar-benar ikhlas hinggakan terasa kehilangannya, itu baru pertolongan yang diterima oleh ALLAH. Sangat terkesan dengan perkongsian Tn Hj Azam sebentar tadi. Persoalan yang hingga kini tiada jawapan “Adakah sudah cukup sumbangan saya kepada manusia lain sepanjang hidup ini?”Apakah sudah cukup ikhlas saya memberi? Takutnya jika tidak ada satu pun ibadah yang dilakukan dipandang oleh ALLAH. Moga diampunkan dosa saya.

Ikhlas harus dibentuk, inshaALLAH lama-kelamaan akan sebati jua. Justeru saya harus membina hubungan ukhuwah dengan mereka yang hidupnya sentiasa memberi manfaat. Ya, kita adalah siapa rakan yang disekeliling. Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan ALLAH, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat pada kematian.

Wallahualam…
Doakan saya agar dapat bertemu dengan Ahmad Ammar dan berkumpul bersama Nabi junjungan Muhammad s.a.w di dalam Syurga bersama keluarga dan sahabat-sahabat ukhuwah saya. Amin...
Kak NorD (orang kuat GPM-Cambodia) & Wan Fad menyantuni anak-anak Kampung Wami.. Alamak mana gambar Kak Azie & Najidah? -jgn mare ye, nanti saya gali dalam album :)
Bersama Pn Nur Azlina- tidak melepaskan peluang yang ado merakamkan memori bersamanya heheh. Moga melekat sikit auranya pada saya. Boleh kan Kak Ina? :)

Rumah penduduk Kampung Wami

Im, Hasanah & Siti bersama anak-anak Kampung Wami. Terima kasih sahabat kerna hadir dalam hidup saya :)
Nedia dan 'adik angkatnya' :) Jumpa lagi Ned untu misi akan datang..InshaALLAH