Friday, February 6, 2015

Ziarah Amal Kemboja-Part 2

[Ziarah Amal di Kemboja-part 2]
Assalamualaikum wbt

Pantas jari mencatat setiap butir bicara yang keluar dari mulut empunya diri sewaktu dalam perjalanan ke Kampung Wami, Cambodia. Bukan mudah untuk bertemu insan istimewa ini, justeru  setiap satu mutiara katanya saya catat rapi-rapi di atas skrin telefon bimbit. Aduih, ini masalahnya. Sering kali lupa untuk membawa buku nota kecil. Moden macamana pun, saya masih gemar menulis menggunakan pena, lebih dekat dengan hati berbanding mencatat di atas skrin telefon, itu pendapat saya, tidak pasti orang lain pula bagaimana.

Suara dan raut wajahnya sungguh tenang membuka bicara. Saya memang ternanti-nanti saat ini, bahkan pasti akan merindui mendengar tazkirah ringkas dari beliau selepas tamat ziarah ini. Ya, Tn Hj Azam, abah kepada Ahmad Ammar, seorang insan yang baru saya kenali, tetapi terasa kuat benar sinar auranya. Mampu menarik banyak hati untuk belajar mencari apa sebenarnya tujuan hidup. Ideanya cukup jelas, hidup mewakafkan diri untuk ummah, membantu memberi manfaat pada semua orang tanpa mengharapkan penghargaan manusia. Keyakinannya pada Kuasa Illahi mengatasi segalanya. Benteng takwa dan redhanya cukup teguh, hinggakan walau diuji dengan kehilangan permata hati, beliau tetap redha. MasyaALLAH, adalagi manusia sehebat ini di zaman yang semakin materialistik.
Mendengar kisah Ali bin Muwaffaq , akhirnya kami tewas dalam linangan air mata, apatahlagi apabila melihat  ‘si pencerita’ menyusun kata dalam sebak, beliau jelas mengambil ibrah melalui kisah ini. ALLAH! ALLAH!
Tn Hj Azam, Alfin serta penduduk Kampung Wami- Alhamdulillah, lebih 20 penduduk Kampung Wami disyahadahkan sewaktu kami tiba 
Usai menyantuni ibu ini. Alhamdulillah diberi peluang untuk duduk bertemu lutut dengannya mengajar ilmu asas agama seperti bacaan Al-Fatihah dan berwuduk. ALLAH! tidak pernah saya sangka diberi kepercayaan & peluang untuk berkongsi manfaat dengan mereka. Terima Kasih ALLAH

Diceritakan suatu ketika dahulu ada seorang pembesar iaitu Abdullah bin al-Mubarak bermimpi selepas beliau menunaikan ibadah haji melihat 2 malaikat sedang berbicara.
“Ada berapa ramai Jemaah yang datang mengerjakan haji pada tahun ini?”, tanya malaikat kepada malaikat yang lain.
“600,000,” jawab malaikat.
“Berapa banyak dari mereka yang ibadah hajinya diterima?” tanya malaikat itu lagi.
“Tidak satu pun..melainkan hanya ibadah haji seorang tukang kasut di Damaskus yang dipanggil Ali bin Muwaffaq yang diterima, bahkan berkat dialah ibadah seluruh jemaah diterima oleh ALLAH,jawab malaikat tadi.

Terjaga dari tidur, Abdullah ibnu Mubarak terus mencari siapakah gerangan Ali bin Muwaffaq yang diceritakan dalam mimpinya. Akhirnya beliau berjaya menemui Ali setelah lama mencari. Justeru beliau menjelaskan mimpinya dan bertanya apakah amalan beliau hinggakan hajinya diterima, tetapi tidak pada haji jemaah yang lain.

Mendengar kata-kata Abdullah ibnu Mubarak, Ali bin Muwaffaq sangat terkejut lantas menjawab bahawa beliau tidak pergi menunaikan ibadah haji pada tahun itu. Setelah 40 tahun mengumpul wang hasil kerja tukang kasut, memang Ali memutuskan untuk ke Mekkah, tetapi ditakdirkan suatu hari isterinya yang sedang sarat mengandung terbau masakan yang harum dari rumah jiran berhampiran lalu menyuruh Ali bin Muwaffaq memintanya walau sedikit dari jirannya akibat terlalu ingin merasanya. Sewaktu beliau menjelaskan hasrat isterinya kepada jiran tersebut, tiba-tiba jiranya terus menangis kemudian menjawab “Makanan ini halal bagiku, tetapi haram bagimu. Sudah 3 hari anak ku tidak makan apa-apa, tetapi hari ini aku melihat ada bangkai seekor keldai yang mati dihadapan rumah, lalu aku mengambil dan memasaknya,’’kata wanita itu dalam tangisan.

Sebak Ali mengetahui kisah itu, beliau kemudiannya kembali ke rumahnya dan terus mengambil wang yang telah disimpan lama untuk ke Mekah lalu diserahkan semuanya kepada wanita tersebut.

“Belanjakan wang ini untuk anakmu”, kata Ali. “Inilah perjalanan hajiku,”bisik hatinya.
Memang jelas dan nyata benar mimpiku kata Abdullah ibnu Mubarak setelah mengetahui kisah Ali.

Kisah yang sesuai dijadikan ibrah buat kita semua. Pertolongan yang benar-benar ikhlas hinggakan terasa kehilangannya, itu baru pertolongan yang diterima oleh ALLAH. Sangat terkesan dengan perkongsian Tn Hj Azam sebentar tadi. Persoalan yang hingga kini tiada jawapan “Adakah sudah cukup sumbangan saya kepada manusia lain sepanjang hidup ini?”Apakah sudah cukup ikhlas saya memberi? Takutnya jika tidak ada satu pun ibadah yang dilakukan dipandang oleh ALLAH. Moga diampunkan dosa saya.

Ikhlas harus dibentuk, inshaALLAH lama-kelamaan akan sebati jua. Justeru saya harus membina hubungan ukhuwah dengan mereka yang hidupnya sentiasa memberi manfaat. Ya, kita adalah siapa rakan yang disekeliling. Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan ALLAH, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat pada kematian.

Wallahualam…
Doakan saya agar dapat bertemu dengan Ahmad Ammar dan berkumpul bersama Nabi junjungan Muhammad s.a.w di dalam Syurga bersama keluarga dan sahabat-sahabat ukhuwah saya. Amin...
Kak NorD (orang kuat GPM-Cambodia) & Wan Fad menyantuni anak-anak Kampung Wami.. Alamak mana gambar Kak Azie & Najidah? -jgn mare ye, nanti saya gali dalam album :)
Bersama Pn Nur Azlina- tidak melepaskan peluang yang ado merakamkan memori bersamanya heheh. Moga melekat sikit auranya pada saya. Boleh kan Kak Ina? :)

Rumah penduduk Kampung Wami

Im, Hasanah & Siti bersama anak-anak Kampung Wami. Terima kasih sahabat kerna hadir dalam hidup saya :)
Nedia dan 'adik angkatnya' :) Jumpa lagi Ned untu misi akan datang..InshaALLAH