Monday, May 28, 2012

Kampung ku

Assalamualaikum w.b.t

Kesempatan bercuti lama ni, saya dan suami mengambil peluang untuk berziarah ke kampung kami. Masa yang ada dibahagi rata. 2 hari di kampung saya dan 2 hari lagi di kampung suami. Melihat perubahan yang berlaku di bandar Mersing sungguh mengagumkan. Sudah banyak bangunan baru dibina. Namun, besar harapan saya agar perubahan ini tidak menjadikan tempat kelahiran saya sesibuk Bandaraya Kuala Lumpur. Oh maaf, saya bukanlah menolak pembangunan tetapi saya bimbang, ketenangan ini bakal dirampas oleh suara kesibukan. Di mana lagi saya mahu melarikan diri mencari ketenangan selepas ini?
Sekali sekala berehat di tepi pantai bandar mersing memang syok! Tidak perlu risaukan bagaimana untuk mencari tempat parking kereta, tidak perlu bersesak dalam jem untuk beriadah dengan keluarga, tidak perlu melalui jalan raya yang penuh dengan lampu isyarat. Perjalanan yang hanya memakan masa beberapa minit sangat menenangkan fikiran. Biarlah jika ada yang melabel saya sebagai "orang kampung", saya tidak ambil kisah. Jiwa saya memang cintakan kampung dan kedamaian. Di sini saya dilahirkan, dan saya harap di sini jua tempat saya akan disemadikan.
Kalau dulu, jarang melihat anak muda melepak di tepi jalan, tapi sekarang, sudah menjadi trend agaknya. Seingat saya, sewaktu zaman belajar, saya tidak berani untuk pergi merayap ke cybercafe, supermarket atau sebaliknya. Habis sahaja sesi persekolahan terus sahaja pulang ke rumah. Kalaupun ingin minum dengan rakan-rakan, pasti saya maklumkan terlebih dahulu pada mak. Tidak pernah terlintas untuk duduk melepak apatah lagi untuk ponteng sekolah.
Mmm, saya rindukan zaman itu. Pagi ke sekolah agama, petang ke sekolah menengah pula. Kenapa pada masa itu, langsung tidak pernah merasa letih. Jika hendak dibandingkan dengan sekarang. Jauh panggang dari api hehhe...masih saya ingat, di tepi sekolah agama ada sebuah rumah panjang yang menjual makanan ringan, keropok dan air. Saya gemar membeli makanan dari situ. Seronok! Banyak pilihan makanan dan minuman, yang sihat atau tidak, semua ada. Tapi kelmarin, sewaktu saya melalui kawasan itu, tiada lagi rumah panjang. Yang tinggal hanyalah kawasan rumah yang telah dirata. Bagaimana hendak saya ceritakan kisah saya pada anak-anak nanti, kalau semua telah diroboh. Bangunan sekolah juga telah banyak berubah, padang pun dinaikkan bangunan baru. Mungkin kapasiti pelajar yang semakin bertambah menyebabkan ruang tidak mencukupi.
Seawal pagi, saya dan suami keluar bersarapan di Tanjung. Kami memilih untuk minum di gerai kecil berhadapan jeti. Seronok sangat dapat merasa masakan kampung. Kalau di Kuala Lumpur sukar untuk mencari masakan yang benar-benar sedap. Bak kata abah,"orang KL, kalau masak kayu pun boleh laku, asalkan sedap," hehee. Memang benar, saya setuju dengan abah. Asalkan sedap saja, confirm orang beli, walaupun agak mahal. Itulah dia orang KayEL.
Nikmatnya pulang ke kampung halaman. Boleh menjadi terapi diri selepas penat bekerja. Di kala saya menulis, diri rasa sangat damai. Ya,damai tanpa hiruk pikuk Bandaraya yang serba moden dan cukup menyesakkan.

Saturday, May 19, 2012

MEMORI

Assalamualaikum w.b.t

Fuh, berlalu sudah minggu menanda kertas soalan peperiksaan akhir pelatih-pelatih saya. Maka, berakhirlah rasa lenguh-lenguh yang melanda. Lenguh tangan, lenguh otak, lenguh mata, semuanya bila disatukan jadilah lenguh satu badan hehe. Hakikat yang perlu dilalui apabila bergelar pendidik. Dek kerana minat dalam dunia pendidikan, hati perlu kuat untuk menempuhi segala cabaran. Segunung harapan dan doa dipanjatkan agar kesemua anak didik saya berjaya dengan cemerlang.
Kata suami, bulan Mei adalah bulan yang sangat meriah untuk saya. Tambahnya lagi, bulan ini, poket dia boleh jadi defisit lantaran banyak sambutan yang perlu diraikan untuk saya. Mana taknya, hari ibu, hari guru dan hari ulangtahun perkahwinan kami jatuh pada bulan yang sama iaitu bulan Mei. Saya senyum je, tanda gembira, hehe..
Ya, satu penghargaan, sekiranya suami mengingati setiap tarikh penting dalam hidup saya. Apatah lagi, hati rasa berbunga-bunga sekiranya anak didik saya turut mengucapkan "selamat hari guru" kepada saya. Biar pun hanya ucapan, tetapi ia bagaikan satu nilai yang besar bagi saya.
Tapi ramai yang memandang remeh dan tidak ambil kisah dengan tarikh-tarikh penting dalam hidup mereka. Ada juga antaranya hari lahir sendiri pun susah untuk ingat, inikan pula hari lahir orang lain. Bagi saya, penting untuk mengingati hari-hari istimewa ini walaupun hanya sekadar sekeping kad ucapan. Isteri boleh bermasam muka disebabkan suami terlupa tarikh istimewa. Susah sangat ke untuk mengingatinya? Sekarangkan sudah zaman moden, hanya sentuh jari di skrin telefon, semuanya jadi mudah. Updatelah sentiasa reminder di kalendar anda itu. Usaha yang kecil, tapi mampu membahagiakan insan tersayang, bukan ke seronok.
Mengapa bila zaman bercintan-cintun boleh ingat hari istimewa, tapi bila dah beranak-pinak semuanya terbiar begitu sahaja? Saya akui kandungan buku "Men from Mars, Women from Venus" itu memang benar. Orang lelaki memang sukar untuk mengingati perkara seperti ini, berbanding orang perempuan yang lebih peka..chewah. Jadi peranan kitalah untuk mengingatkan mereka ya. Kalau susah sangat, anda sendiri boleh tolong buatkan reminder di telefon bimbit mereka, sepertimana yang pernah saya buat dulu hahah...
Ok, simple things but if can make people happy, why not kan? Kita hidup hanya sementara, semua ini bakal menjadi bingkisan kenangan untuk kita tinggalkan sebagai memori, sebagai peneman rasa rindu.
Selamat hari ulangtahun untuk suami tersayang, selamat hari ibu untuk mak yang dikasihi dan selamat hari guru untuk teman seperjuangan...moga saya terus konsisten untuk membahagikan insan tersayang!

Friday, May 4, 2012

Selamat Hari Lahir Iman Khalish

Assalamualaikum w.b.t

Iman khalish.....
Di kala jam menunjukkan angka 12, pada tarikh 4 Mei 2011, perut umi terasa seperti dicucuk-cucuk, tulang belakang sakit bagaikan dipulas-pulas. Umi yakin, mungkin masanya telah tiba. Masa yang saban lama telah umi dan abi nantikan selama ini. Perasaan yang bercampur aduk. Takut, sakit dan gembira semuanya ada. Umi kejutkan abi yang sedang nyenyak tido di sebelah. Umi minta abi urut sedikit belakang umi yang semakin rasa sakit. Kerapkali umi ke tandas, kali terakhir ada sedikit pendarahan.
Jam 12.15 pagi, abi bawa umi ke hospital. Sepanjang perjalanan umi, berdoa moga Iman khalish mudahkan umi nanti. Cepat-cepatlah keluar "nak", umi usap perut. Umi tahu, Iman dengar waktu itu umi menangis sebab umi takut dan sakit. Sampai di hospital, doktor buat pemeriksaan, bukaan baru 1 cm. Allah masih jauh lagi perjalanan yang terpaksa umi tempuhi. Umi perlu tunggu di wad, sebab doktor kata air ketuban umi dah pecah. Abi tidak boleh tunggu umi di wad, lagi sekali umi menangis sebab abi kena balik rumah.
Sepanjang malam sampai ke subuh, umi tidak boleh tidur. Selang beberapa jam doktor bertugas akan memeriksa umi. Jam 9 pagi, bukaan hanya 3 cm. Setiap kali doktor membuat pemeriksaan, setiap kali itu umi rasa macam hendak pitam. "Sakit doktor, jangan kuat-kuat sangat" pinta umi pada doktor. Entah kali ke berapa agaknya doktor buat pemeriksaan, umi pun tidak pasti, tapi pukul 10 pagi umi di tolak ke bilik persediaan. Kali ini umi tidak dibenarkan makan dan minum lagi. Hanya air dimasukkan ke dalam badan, buat bekalan tenaga umi nanti. Nurse marah umi sebab tidak makan pagi tadi, macamana umi hendak makan, perut dan belakang umi sangat sakit. Tapi umi diam saja, malas hendak menjawab.
Umi lihat jam di dinding, sudah pukul 1 petang. Umi dengar di luar bunyi hujan lebat. Umi doa agar Iman selamat. Biar apa yang akan berlaku, yang penting, anak comel umi ini selamat. Abi, mak ngah dan mak-mak (panggilan untuk nenek iman) setia menunggu di luar. Doktor datang buat pemeriksaan, umi sangat risau bila doktor kata jantung Iman Khalish berdegup kuat dan laju. Umi usap perut, umi cakap pada Iman supaya bertahan dan umi cerita semua orang tengah tunggu iman, tidak sabar melihat iman. Alhamdulillah, Iman dengar cakap umi. 2 jam lepas itu, doktor kata, jantung Iman kembali normal.
Jam menunjukkan pukul 3.30, doktor kata bukaan masih 3 cm. Allah, umi redha. Ini semua ujian yang telah diaturkan buat umi, atas kesalahan dan dosa yang lepas. Lambat sungguh masa berlalu. Doktor nasihat agar umi ambil ubat tahan sakit, umi angguk. Masa itu, umi bagitau doktor, buatlah apa sahaja, asalkan kamu selamat nak. 4.30, nurse yang bertugas sudah silih berganti. Tapi umi masih di sini, di atas katil menanti apa yang akan berlaku seterusnya. Tidak putus-putus mulut umi membaca doa dan selawat. 5 petang umi ditolak masuk ke bilik bersalin. Abi pun ada. Kali terakhir doktor pakar datang membuat pemeriksaan. Allahuakbar, masih 3cm tiada perubahan. Umi sudah keletihan.
"Puan kita sudah menunggu lebih 12 jam, supaya puan boleh bersalin normal, tetapi bukaan puan masih tiada perubahan, kami takut bayi puan lemas, jadi kami sarankan puan dibedah", perlahan-lahan doktor memberi penjelasan. Umi redha, abi pun sama. Semuanya berlaku pantas selepas itu, umi ditolak masuk ke dewan bedah tanpa sempat mencium dan memeluk abi.
Umi dengar sayup-sayup suara azan. Umi buka mata, keliling umi ramai sungguh orang yang berpakaian putih. Alhamdulillah, suara orang di sebelah umi. Katil umi terus ditolak. Mana Iman Khalish? Umi langsung tidak dengar suara mu, nak. Tapi umi tidak mampu bersuara. Umi mengigil sangat kuat. Umi minta selimut tebal, umi tarik tangan orang di sebelah untuk kurangkan sejuk. Tiba-tiba ada suara memanggil doktor, mengatakan perut umi berdarah kembali. Allah, umi rasa bingung mungkin akibat kesan ubat pelali. Umi redha.
Dalam samar-samar Umi nampak abi. Abi cium umi. Abi tunjuk gambar pada telefon bimbit. Alhamdulillah, anak umi selamat. Syukur Ya Allah. Abi kata Iman comel, ada lesung pipit di sebelah pipi kanan. Umi rasa bahagia. Hidup umi sudah lengkap sekarang. Umi akan besarkan iman dengan penuh kasih sayang dan "iman". Abi kata umi alami komplikasi sewaktu dibedah. Peparu alami kekejangan (broncospasm) sebelum sempat iman dikeluarkan. Jadi doktor selamatkan umi dulu, kemudian baru Iman di keluarkan dari perut umi tepat jam 5.47 petang (3.47kg). Sebab itu, 1 malam umi kena tinggal di dalam wad HDU berbekalkan oksigen. Iman Khalish pula malam itu perlu dimasukkan ke NICU sebab alami kesukaran bernafas. Umi risau, umi berdoa agar anak umi selamat.

Alhamdulillah, sekarang di waktu umi sedang menulis, Iman sudah berusia setahun. Syukur ya ALLAH memberikan umi peluang merasai nikmat mengandung, melahirkan, menyusukan dan membesarkan anak daripada benih kami sendiri. Moga Iman membesar dengan sihat, menjadi mata rantai perjuangan Islam, berjaya dunia-akhirat dan menghafaz Al-Quran...Ameen.
Selamat hari lahir anak umi!