Assalamualaikum w.b.t
Kesempatan bercuti lama ni, saya dan suami mengambil peluang untuk berziarah ke kampung kami. Masa yang ada dibahagi rata. 2 hari di kampung saya dan 2 hari lagi di kampung suami. Melihat perubahan yang berlaku di bandar Mersing sungguh mengagumkan. Sudah banyak bangunan baru dibina. Namun, besar harapan saya agar perubahan ini tidak menjadikan tempat kelahiran saya sesibuk Bandaraya Kuala Lumpur. Oh maaf, saya bukanlah menolak pembangunan tetapi saya bimbang, ketenangan ini bakal dirampas oleh suara kesibukan. Di mana lagi saya mahu melarikan diri mencari ketenangan selepas ini?
Sekali sekala berehat di tepi pantai bandar mersing memang syok! Tidak perlu risaukan bagaimana untuk mencari tempat parking kereta, tidak perlu bersesak dalam jem untuk beriadah dengan keluarga, tidak perlu melalui jalan raya yang penuh dengan lampu isyarat. Perjalanan yang hanya memakan masa beberapa minit sangat menenangkan fikiran. Biarlah jika ada yang melabel saya sebagai "orang kampung", saya tidak ambil kisah. Jiwa saya memang cintakan kampung dan kedamaian. Di sini saya dilahirkan, dan saya harap di sini jua tempat saya akan disemadikan.
Kalau dulu, jarang melihat anak muda melepak di tepi jalan, tapi sekarang, sudah menjadi trend agaknya. Seingat saya, sewaktu zaman belajar, saya tidak berani untuk pergi merayap ke cybercafe, supermarket atau sebaliknya. Habis sahaja sesi persekolahan terus sahaja pulang ke rumah. Kalaupun ingin minum dengan rakan-rakan, pasti saya maklumkan terlebih dahulu pada mak. Tidak pernah terlintas untuk duduk melepak apatah lagi untuk ponteng sekolah.
Mmm, saya rindukan zaman itu. Pagi ke sekolah agama, petang ke sekolah menengah pula. Kenapa pada masa itu, langsung tidak pernah merasa letih. Jika hendak dibandingkan dengan sekarang. Jauh panggang dari api hehhe...masih saya ingat, di tepi sekolah agama ada sebuah rumah panjang yang menjual makanan ringan, keropok dan air. Saya gemar membeli makanan dari situ. Seronok! Banyak pilihan makanan dan minuman, yang sihat atau tidak, semua ada. Tapi kelmarin, sewaktu saya melalui kawasan itu, tiada lagi rumah panjang. Yang tinggal hanyalah kawasan rumah yang telah dirata. Bagaimana hendak saya ceritakan kisah saya pada anak-anak nanti, kalau semua telah diroboh. Bangunan sekolah juga telah banyak berubah, padang pun dinaikkan bangunan baru. Mungkin kapasiti pelajar yang semakin bertambah menyebabkan ruang tidak mencukupi.
Seawal pagi, saya dan suami keluar bersarapan di Tanjung. Kami memilih untuk minum di gerai kecil berhadapan jeti. Seronok sangat dapat merasa masakan kampung. Kalau di Kuala Lumpur sukar untuk mencari masakan yang benar-benar sedap. Bak kata abah,"orang KL, kalau masak kayu pun boleh laku, asalkan sedap," hehee. Memang benar, saya setuju dengan abah. Asalkan sedap saja, confirm orang beli, walaupun agak mahal. Itulah dia orang KayEL.
Nikmatnya pulang ke kampung halaman. Boleh menjadi terapi diri selepas penat bekerja. Di kala saya menulis, diri rasa sangat damai. Ya,damai tanpa hiruk pikuk Bandaraya yang serba moden dan cukup menyesakkan.
0 comments:
Post a Comment