Wednesday, April 25, 2012

Hospital Rakan Bayi

Assalamualaikum w.b.t
Mood sempena menghampiri Hari Ibu ini lebih kerap berbicara mengenai persiapan menyambut kelahiran, penyusuan dan proses tumbesaran anak. Sementara menunggu nombor giliran saya dipanggil untuk rawatan lanjutan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, sempat juga saya menulis sambil mengepam. Oh, mengepam susu sudah sebati dalam diri saya. Sangat bersyukur sebab pilihan saya untuk melahirkan Iman Khalish di HUKM setahun yang lepas adalah satu pilihan yang tepat. Alhamdulillah, HUKM merupakan antara Hospital Rakan Bayi yang sangat-sangat menggalakkan penyusuan ibu.
Percaya atau tidak, saya diberi bilik khas di HUKM untuk mengepam susu, sangat selesa dan bilik ini jugalah merupakan tempat di mana saya belajar mengenai teknik penyusuan sewaktu mengandung dulu. Di dalam bilik ini turut disediakan pam , sekiranya ibu tidak membawa pam bersama. Boleh dikatakan bahawa bilik ini sangat lengkap dan luas serta ibu tidak perlu bersusah payah mencari tempat lain untuk mengepam atau menyusukan.
Hospital Rakan Bayi akan memastikan bahawa bayi anda mendapat susu ibu sepenuhnya. Tiada istilah botol dan susu formula sekiranya anda memilih untuk bersalin di sini. Jangan jadikan penyusuan badan sebagai satu beban. Fikirkanlah khasiat yang akan diperolehi oleh bayi daripada susu ibu. Bonding yang wujud di antara ibu dan bayi sangat indah. Walaupun saya terpaksa bangun malam untuk menyusukan Iman Khalish dari awal kelahiran hinggalah kini sudah menghampiri usia setahun, pengalaman ini cukup bahagia untuk saya. Nekad perlu ditanam dari awal lagi, sewaktu disahkan hamil saya berdoa moga ALLAH beri saya peluang menyusukan anak sehingga usia 2 tahun. Ya, saya beruntung sebab di kelilingi oleh rakan sekerja yang turut menyusukan bayi. Terima kasih pada Asmah Md. Yunos yang terlalu banyak membantu saya. Satu ikatan tanpa pertalian darah telah wujud di antara kami disebabkan beliau sanggup berkongsi susu badan milik anaknya(aqil) sewaktu saya dalam dilema kekurangan stok ebm (susu perahan). Moga perhubungan sebagai ibu susuan ini dirahmati dan hanya ALLAH saja mampu membalas (mode: sebak)
Sokongan suami juga sangat penting dalam membantu menjayakan penyusuan ibu. Syukur suami amat memahami dan membantu. Yang penting, suami turut jelas apa tujuan saya memberikan susu badan, selain turut disebut dalam Al-quran apatah lagi mengetahui khasiatnya, saya mohon agar melalui penyusuan ini, dapat mengurangkan risiko untuk Iman Khalish mewarisi penyakit athma saya. Tidak sanggup rasanya untuk melihat anak saya mewarisinya. Di saat ini, saya di HUKM pun disebabkan rawatan susulan penyakit tersebut. Moga ALLAH melindungi anak saya dan keturunan.
Bagi bakal ibu, memilih tempat untuk bersalin adalah antara checklist yang perlu diutamakan. Perkhidmatan yang diberikan di HUKM jauh lebih baik berbanding hospital lain yang pernah saya kunjungi. Di HUKM anda boleh memilih samada untuk bersalin di wing kerajaan atau di wing private. Bagi saya yang berkhidmat dengan kerajaan, saya memilih untuk bersalin di wing kerajaan, sebab tidak perlu membayar sebarang kos, apatah lagi servis yang diberikan sangat ok. Sakit tetap sakit, walaupun di mana sahaja kita bersalin. Betul tak? Hehe (teringat pulak saat-saat melahirkan Iman Khalish, nanti saya sharekan)
All da best untuk bakal ibu! Moga anda memberikan yang terbaik untuk amanah yang ALLAH kurniakan ini. Selamat "mengepush" hehheh

Tuesday, April 24, 2012

Khas buat bakal ibu

Assalamualaikum
Sewaktu disahkan hamil suatu ketika dulu, hati sangat teruja untuk membuat persediaan. Di awal usia kehamilan 3 bulan, saya dan suami sudah mula membuat perancangan belanjawan untuk si comel. Namun, pesan orang-orang tua untuk tidak terlalu awal membeli barangan bayi, tetap kami patuhi. Bimbang nanti pisang berbuah dua kali. Pengalaman mengandung dan gugur sebelum ini, memang pahit. Kegembiraan sementara yang dipinjamkan rupanya adalah dugaan buat saya.
Kehamilan kali ini, tiada pulut kuning, tapi hanyalah solat hajat diiringi doa agar bayi ini dapat dilahirkan sempurna. Hanya keluarga terdekat sahaja saya maklumkan. Apabila usia kandungan menjangkau 6 bulan, barulah saya mula membeli barang keperluan. Nanti saya sharekan antara barangan yang relevan disediakan oleh bakal ibu di luar sana. Tapi ada juga, barangan yang bukan keperluan saya beli hehe..maklumlah, terlalu teruja menanti saat seperti ini. Dari pakaian hinggalah baby cot turut berada dalam senarai barangan keperluan saya. Suami? Apalagi, garu kepalalah hihi.
Ini antara barangan yang perlu disediakan oleh ibu di luar sana:
1- baju lengan pendek, seeloknya berbutang di hadapan bagi memudahkan ibu menukar baju baby (saiz 0-6 bulan)
2- seluar panjang/pendek (untuk tempoh sehingga tali pusat tertanggal,bayi biasanya tidak dipakaikan seluar)
3- pampers saiz newborn, seeloknya beli 1 pack dulu, sebab kita tidak tahu baby sesuai atau tidak dengan pampers tersebut. Saya gemar menggunakan pet-pet dan huggies
4- wet tissue. Saya gunakan jenama pureen
5- cotton ball untuk dibasahkan dengan air setelah menggunakan wet tissue atau untuk dibasahkan dengan alkohol bagi membersihkan kawasan pusat baby
6- bedung, boleh cari kain napkin yang lembut dan tidak panas
7- barut
8- selimut saiz kecil
9- sarung tangan dan kaki
10-topi kepala
11-minyak telon/minyak yuyi
12-barangan mandian bolehlah mencuba produk yang tidak memberi kesan sensitif pada bayi, contohnya baby johnson's
13-besen mandian
14-changing mat
15-tuala mandi
16-putik kapas
17-pengepit kuku
18-hanger dan hanger payung saiz kecil untuk mudahkan menyidai baju si comel
Saya tidak menggalakkan membeli baju lengan panjang untuk bayi yang dalam tempoh berpantang, memandangkan cuaca di Malaysia yang sangat panas, serta kebiasaannya dalam tempoh ini bayi sentiasa dibedung.
Extra keperluan (releven atau tidak bergantung pada kegunaannya)
1-baby cot
2-tilam kecil
3-stroller/baby sling untuk mudahkan ibu shopping lepas pantang hehe
Sebagai kumpulan sokongan susu ibu, saya amat tidak menggalakkan pembeliaan puting tiruan. Oh ya, saya juga ingin berkongsi pengalaman apabila baby menolak pemberian susu perahan saya melalui botol. Bagi mengelakkan keadaan ini berlaku, ibu seharusnya mengambil langkah awal dengan cara memberi susu ibu di dalam botol sehari sekali seawal usia bayi 2 bulan. Pengalaman saya dulu, baby sudah menghampiri usia 3 bulan, baru ingin memberi botol, apa lagi, sudah pasti baby menolaknya dan rela berlapar daripada meminum susu dari botol. Ibu boleh menggunakan botol yang mempunyai puting menyerupai ibu, cthnya MAM dan Nuk. Ada banyak lagi jenama lain dipasaran yang boleh dicuba. Namun begitu, jangan lupa, pemberian susu ibu secara direct jangan ditinggalkan.
Moga, perkongsian ini banyak memberi manfaat kepada bakal ibu di luar sana...Selamat Hari Ibu!

Saturday, April 21, 2012

Jalan mendongak langit

Assalamualaikum w.b.t Urban Kuala Lumpur telah menjadikan bandaraya ini berubah wajah. Sekali sekala keluar ke ibu kota menggunakan kenderaan awam memang syok. Tidak perlu lenguh kaki menekan pedal brek dan minyak kereta semasa jalan sesak. Cuma perlu bayar tiket untuk ke destinasi tertentu. Kelmarin, saya memilih menaiki monorail untuk ke Bukit Bintang dari stesen Titiwangsa kerna tidak sanggup untuk menempuh jem serta tidak mahu menghadapi kesukaran mendapatkan parking. Perjalanan yang memakan masa hampir 20 minit dengan tiket berharga rm2.10 memang berbaloi. Sedang asyik menunggu monorail,datanglah segerombolan abang-abang askar yang tegap dan berpakaian sangat smart 😌 barangkali mereka ingin menuju ke kl sentral fikir saya memandangkan masing-masing membawa beg besar ala-ala beg balik kampung gitu. Teringat sewaktu zaman belajar di Universiti dulu. Terpaksa mengangkut beg yang berat untuk ke Puduraya. Zaman itu tidak sama macam zaman sekarang, sangat susah. Tapi, tidak pernah mengeluh. Anak-anak alaf baru ini sangat mudah. Pergi ke kelas pun naik kereta, malahan kereta lagi besar dari pensyarah. Terganggu seketika lamunan saya, apabila monorail berhenti di stesen berikutnya. Antara ramai-ramai penumpang yang masuk, ada seorang ibu Arab yang sedang mendukung anak kecil dan sebelah tangan lagi memimpin anak yang usianya dalam lingkungan 4 tahun. Saya menoleh tempat duduk yang diduduki oleh abang-abang tegap tadi. Dengan harapan ada yang bangun memberi ruang kepada ibu dan anak itu duduk. Namun, tidak ada seorang pun yang sudi untuk bangun. Tanpa berlengah, saya bangun dan menarik tangan ibu Arab itu supaya duduk di tempat saya. Syukran katanya. Saya tersenyum. Abang-abang tegap tadi persis dalam iklan kempen nilai murni di televisyen. Tidak prihatin pada persekitaran, tidak mempedulikan orang lain. Argh, kalau badan sahaja tegap tapi hati kering buat apa. Bagaimana hendak melindungi negara, jika tidak peka pada perkara kecil. Geram juga saya melihat mereka. So, moral of the story "biar siapa pun kita, biar di mana pun kedudukan kita, jalan perlulah melihat ke bawah, jangan sentiasa mendongak ke langit, bimbang nanti jatuh tersadung di kemudian hari"

Friday, April 13, 2012

Landed house oh landed house

Assalamualaikum w.b.t

Haihhh, letih sungguh pergi ke pameran hartanah bumiputera kat MidValley. Terima kasih kepada pemaju-pemaju sekalian sebab sediakan rumah TIDAK mampu milik untuk saya. Pelik tapi benar, nilai hartanah sekarang sudah semakin melonjak. Rasanya, hanya jutawan saja boleh beli rumah landed (atas tanah), untuk saya yang kurang jutawan ini, terpaksalah memilih rumah atas angin (apartment/kondo) yang rata-ratanya lebih murah sedikit berbanding landed house.

Boleh saja untuk dapat landed house yang agak murah, tapi jaraknya tersangatlah jauh dari tempat kerja. Pilih saja Semenyih, Cyberjaya, Kuala Selangor, Rawang, Klang masih ada rumah teres yang harganya berpatutan, even bungalow pun boleh dapat dengan harga rm 250k, tapi fikir-fikirlah berapa banyak masa yang terbuang duduk dalam kereta sepanjang perjalanan yang jauh serta jem untuk pergi dan balik dari tempat kerja.

Kalau diikutkan hati mahu saja pejam mata, beli sahaja landed house yang yang agak mahal asalkan lebih dekat untuk ke tempat kerja. Tapi, tidak sampai tengah bulan duit belanja sudah habis. Terpaksa korbankan banyak perkara untuk dapat tinggal dalam rumah yang mahal gila ini. Sanggupkah? Atau, beli rumah yang agak jauh, tetapi berbaloi harganya? Sama juga. Terpaksa korbankan masa dan belanja lebih pada minyak kereta dan tol pula.

Landed house oh landed house! Sangat perlukan kamu hehe..mesti ada yang terpikir kenapa saya lebih gemarkan landed house berbanding apartment. Jawapannya mudah, saya mahukan suasana yang baik untuk pembesaran Iman Khalish dan adik-adiknya (kalau diizinkan). Biar mereka dapat rasa bermain di atas tanah, mengenal pokok yang ditanam, mengenal jiran tetangga instead of hanya bermain di dalam rumah. Sekarang Iman Khalish main kereta pun dalam rumah. Main jenguk-jenguk dengan jiran sebelah melalui balkoni sahaja. Kesian sungguh. Saya mahu anak-anak melalui zaman kanak-kanak sepertimana yang saya lalui.

Bermain nyorok-nyorok,layang-layang, guli, galah panjang, bola beracun dan macam-macam lagi. Saya harap anak saya tidak seperti anak-anak lain yang gemar bermain playstation, bermain game di iPad dan handphone sahaja. Biarlah mereka membesar dengan perkembangan yang lebih baik. InsyALLAH, saya masih berusaha untuk mencari landed house. Moga dipermudahkan urusan kami sekeluarga.

Promosi Hari Ibu

Assalamualaikum w.b.t

Untuk bulan ini, saya ingin melakukan promosi sempena Hari Ibu terhadap beberapa barangan. Tengok lah ye:

1. Glucometer GlucoDr Supersensor - istimewa hanya pada RM150, anda jimat RM30!
2. Lancet - istimewa hanya pada RM20, potongan sebanyak RM10!
3. PERCUMA penghantaran tau!

Boleh rujuk tab Products Hub untuk deskripsi item. Sesiapa yang berminat, sila sms segera ke 016-9083017 (Shidah). 

Kesemua produk ini amat sesuai untuk sesiapa sahaja terutama dalam keadaan masyarakat kita yang makan semua benda :) lagi-lagi pula untuk mereka yang sudah berusia, yang ada sejarah keluarga berpenyakit dan macam-macam lagi. Usaha kita untuk mencegah. Supaya kita tak susah nanti...

Monday, April 9, 2012

Parenting

Assalamualaikum w.b.t

Sangat suka bercakap pasal parenting. Maklumlah hati teruja sebab sudah jadi umi hampir setahun. Tapi kalau ditakdirkan saya ini jenis yang mudah dapat zuriat, pastinya saya tdak ambil kisah pasal isu parenting ini. Jadi umi yang biasa-biasa saja. Malas belajar dan tidak mahu mencari ilmu barangkali. Tapi alhamdulillah, kepayahan yang ditakdirkan untuk suami dan saya mendapat zuriat menjadikan kami ibubapa yang bersyukur, sangat-sangat menitikberatkan proses tumbesaran anak, pemakanan, susu yang diminum serta cara untuk mendidik. Maaf, bukan maksudnya ibubapa lain tidak ambil kira semua itu, masing-masing ada cara tersendiri kan, tepuk dada tanyalah selera, chewah....

Selama 4 tahun menyulam rasa, memendam perasaan kecewa melihat orang lain yang setiap tahun menambah bilangan ahli keluarga, tetapi tidak pada kami, kadang-kadang timbul persoalan bagaimana cara mereka mendidik dan mengawal anak-anak mereka yang umurnya beza selang setahun. Sangat respect orang zaman dulu yang mampu melahirkan anak ramai dan kesemuanya menjadi orang yang berjaya.

Sebagaimana entri sebelum ini, ada saya nyatakan berkenaan cara menghukum anak-anak. Menghukum bukan untuk melepaskan geram tetapi menghukum untuk memberi pengajaran. Menjadi ibu bapa, apatah lagi untuk generasi baru (sekarang bukan generasi X dan Y dah ye) sangat mencabar. Perlu gunakan pendekatan psikologi. Perlu mencari ilmu untuk menjadi ibu bapa. Bukan setakat bercinta, berkahwin dan beranak-pinak saja, tapi perlu ada matlamat. Saya suka mendengar tazkirah dari Profesor Dr.Muhaya, katanya " banyak orang mempunyai planning masing-masing untuk anak dan keluarga mereka, bila sudah besar hendak hantar ke sekolah mana, mahu anak mereka menjadi apa. Tapi mereka terlupa untuk membuat planning yang paling besar ini iaitu satu keluarga semuanya perlu masuk Syurga". Alamak, sayalah antara mereka yang terlupa untuk membuat planning macam itu. Saya perlu menambah matlamat itu dalam senarai goal setting kami. Fuh, sangat banyak pembaharuan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan. Banyak perkara yang perlu diQC pada diri ini untuk menjadi contoh ibu bapa yang berkualiti.

InsyALLAH nnti saya share buku yang sedang saya baca Prophetic Parenting (Cara Nabi mendidik anak), cabaran dalam mendidik anak alaf baru ini perlu dibentuk dengan ilmu dan kembali pada bagaimana cara Rasulullah mendidik anak baginda.

Saturday, April 7, 2012

Sehelai jubah & kain pelikat

Assalamualaikum w.b.t

Rasa syukur, walaupun telah banyak mendengar kisah orang Islam menjadi murtad, baru-baru ini saya telah mendapat satu perkhabaran yang seorang pelajar saya baru sahaja memeluk Islam februari lepas. Alhamdulillah, beliau telah dipilih ALLAH untuk mendapat hidayah. Peranan kita sebagai muslim, perlu menunjukkan contoh yang baik supaya mereka jatuh cinta pada keindahan islam.

Tapi yang tidak syoknya apabila kelmarin seorang sahabat baik saya telah menceritakan kisah yang amat-amat memalukan orang Islam. Sahabat baik saya ini (non-muslim) bertanyakan pada saya. "Shidah, orang Islam boleh minum carlsberg (arak) ke?". "Saya pernah dengar masa sekolah dulu, ustazah kata, minum arak itu haram, "tambahnya lagi. Saya termangu-mangu dengan soalan yang ditanyakan. Kemudian saya jawab, "Memang betul, arak itu hukumnya haram! Awak tahu ke apa maksud haram?, kali ini giliran saya pula bertanya. "Tahu. Kalau buat, orang itu berdosa dan masuk neraka,'' jawabnya dengan mudah.

Lihat, orang yang bukan beragama Islam pun faham dengan jelas, yang minum arak itu berdosa, tetapi kenapa orang Islam sendiri tidak faham. Di mana hendak saya sorokkan muka, apabila sahabat saya ini menceritakan kisah rakan serumahnya beragama islam, tetapi kerap balik ke rumah dalam keadaan mabuk, serta tidak malu-malu minum arak di hadapannya.

ALLAH, lindungillah saya dan keturunan daripada melakukan perbuatan yang dilaknat ini dan semoga ALLAH lindungi jua pelajar saya ini yang baru sahaja memeluk Islam dan membantunya mencari sinar Islam sebenar. Sehelai jubah dan kain pelikat telah saya berikan sebagai tanda syukur atas kehadirannya sebagai 'orang baru' dalam Islam.

Monday, April 2, 2012

Mati itu BENAR

Assalamualaikum w.b.t

Pemergian seorang rakan sekerja ke rahmatullah baru-baru ini membuatkan saya terfikir bagaimana pula bila tiba giliran saya. Adakah ramai yang datang berziarah? Adakah anak-anak didik saya akan berziarah sambil membaca Yaasin? adakah Iman Khalish dan adik-adiknya(jika diizinkan) akan membantu menguruskan saya nanti? Sudah cukup ke saya bersedia? Benar, mati itu sudah PASTI, tapi bagaimana keadaan saya pada ketika itu.

Banyak sungguh kelemahan yang perlu diperbaiki, moga saya "pergi" dengan dirahmati, dirindui tapi bukan dibenci.