Tuesday, August 28, 2012

Double line = Positive

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, sewaktu cuti berhari raya saya mendapat message daripada ex-student saya mengatakan beliau hamil. Gembira bila dapat membantu orang lain kerna saya sendiri pernah alami masalah sukar hamil setelah 4 tahun berkahwin [KLIK SINI]. Kali ini sudah 4 orang yang positif hamil setelah mengamalkan tips dan pengiraan ovulasi yang saya ajar (berbeza dengan apa yang kita pelajari di sekolah) [KLIK SINI]. Syukur Ya ALLAH, saya mohon agar semua wanita di luar sana dapat merasai nikmat mengandung dan melahirkan anak dari benih sendiri. Yang penting, perlu usaha dan ihktiar beserta tawakkal.

Jangan mudah mengaku kalah dan jadikan ayat 'takpelah', 'biarlah', 'tunggu dulu' sinonim di bibir kita. Selagi ada nyawa, teruskan berusaha. ALLAH hanya ingin menduga sejauh mana kita bersabar dan sejauh mana kita berusaha. Berdoa dan terus berdoa pada pencipta kerna hanya DIA yang mampu memakbulkan permintaan.

Saya bersyukur kerna ALLAH akhirnya memberi saya peluang memegang amanah sebagai seorang umi. Saya juga manusia biasa, pernah melalui episod kemurungan akibat tidak dikuriakan zuriat. Sebab itu saya harap agar tulisan saya ini mampu menaikkan semangat wanita di luar sana. Sepertimana entry saya sebelum ini dalam topik Dhuha [KLIK SINI] menyebut "Ada manusia, yang pabila berdoa pada ALLAH untuk mendapatkan sesuatu, ALLAH makbulkan,". "Ada juga manusia, yang pabila memohon sesuatu , ALLAH tidak makbulkan terus.  Tetapi ALLAH gantikan dengan yang lain sebagai jalan untuk dia mencapai apa yang dipohonnya itu".

Percayalah, setiap yang diaturkan untuk kita pasti ada hikmahnya! Bagi sang suami, jangan hanya menyalahkan isteri atau mengambil peluang untuk mencari pengganti jika isteri belum ada isi lagi, kerna soal kesuburan itu bergantung pada kedua-dua belah pihak iaitu suami-isteri.

p/s: Kalau ada yang ingin belajar pengiraan ovulasi boleh email saya : she_za2267@hotmail.com. Hanya untuk pasangan yang telah berkahwin sahaja ye! hehehe


Monday, August 27, 2012

Seronok ke?

Assalamualaikum w.b.t

Baru pulang dari Pusrawi membuat general medical check up. Boleh tahan harganya, cuma RM 66 termasuk konsultasi dari doktor perubatan, urin FEME (ujian air kencing) dan X-ray. Tidak perlu menunggu terlalu lama, kalau hendak dibandingkan dengan Hospital kerajaan. Sistem yang tersusun bagi mempermudahkan pelanggan/pesakit menerima rawatan atau perkhidmatan. Kakitangan yang mudah tersenyum dan ceria. Jatuh hati saya seketika dengan layanan yang diberikan.

Kenapa kakitangan di hospital kerajaan tidak seperti ini? Kalau hendak diikutkan, peranan masing-masing adalah sama. Cuma mungkin workload (bebanan tugas) yang sedikit tinggi di hospital atau klinik kerajaan menjadikan mereka kurang mesra pelanggan. Tetapi mereka bukannya bekerja secara PERCUMA, betul tak? Mereka tetap menerima gaji seperti orang swasta. Entah-entah lebih lumayan selepas dicampur dengan elaun.

Mmm, smuanya terletak pada diri masing-masing. Kita yang menjadikan hari kita lebih ceria atau sengsara. Bekerja kalau rasa terpaksa memang tidak menyeronokkan. Yup, saya juga kadangkala rasa tidak seronok bekerja, especially hari Isnin. Tapi jangan jadikan ketidakseronokan itu menganggu tugas hakiki dan membebankan orang lain. Bekerja sebagai pendidik sudah pasti banyak ragamnya. Andai saya terbawa-bawa perasaan tidak seronok itu sudah pastinya anak murid bakal menjadi mangsanya. Mungkin kesalahan kecil diperbesar-besarkan. Kan?

Sebab itu kita perlu sentiasa menyelidik diri. Kadang kala rasa sebak sewaktu saya membaca status facebook segelintir bekas student saya  yang rata-ratanya semua telah bekerja sebagai medical lab technologist. Ada yang menulis tentang tidak berpuas hati dengan pesakit yang banyak bertanya,  pesakit yang tidak memahami arahan dan pelbagai lagi. [p/s: tidak semua ex-student saya seperti ini, ramai yang ok :)]. Adakah mereka lupa bahawa pelanggan mereka itu adalah pesakit yang sedang sakit? Kita yang sihat ini pun kadang kala tidak memahami arahan, apatah lagi orang yang sakit. Betul tak? Jadi peranan kita sebagai kakitangan yang SIHAT untuk memberi penerangan yang jelas . Umpama guru mengajar anak murid yang lemah, kalau tidak diajar satu persatu, mana mungkin anak murid akan menjadi cemerlang. 

Semalam sewaktu mengepam susu, sempat saya membaca beberapa helaian buku motivasi H.M Tuah Iskandar yang dipinjam dari rakan. Tulisan yang ringkas dan sesuai dibaca. "Kita yang memilih untuk menjadikan hidup kita seronok ataupun tidak. Andai kita rasa tiada keseronokan dalam hidup, cepat-cepat cari pengubatnya".

Perbanyakkan berbicara dengan rakan atau orang yang positif mindsetnya. InsyALLAH kita juga akan positif. Ingat, what you give, is what u get back. 

Peace!

Monday, August 13, 2012

Family vs Technology

Assalamualaikum w.b.t

Ramadan bakal meninggalkan kita dalam beberapa hari lagi. Alhamdulillah diberi kesihatan dan kesempatan untuk melaluinya hingga ke saat ini. Menyusukan anak menjadikan saya lebih bertanggungjawab untuk bangun sahur. Walau terlewat macam mana pun saya akan pastikan air di minum beberapa gelas. Bimbang nanti produksi susu berkurangan akibat dehidrasi. Syukur, ALLAH kurniakan amanah pada saya- Iman Khalish supaya saya menjadi manusia yang lebih menyempurnakan suruhanNYA dan dapat menunaikan tanggungjawab kepada keluarga.

Bangun malam bukanlah perkara yang mudah, apatah perlu bangun untuk memasak. Tetapi saya ambil sebagai cabaran dalam memperbaiki diri. Di awal Ramadan lagi, saya telah berniat untuk menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna. Moga ALLAH hitung segala amalan kita terutamanya bagi ibu-ibu yang terpaksa melalui beberapa siri bangun malam sebelum tiba waktu sahur kerana menyusukan anak. Saya yakin ada ganjaran yang menanti. Saya mohon juga agar ALLAH beri saya peluang untuk menyusukan Iman Khalish hingga usianya 2 tahun, bimbang juga kerana episod kekurangan stok susu ebm sedang melanda saya. Sebak!

Si hero semakin lasak. Pantang ada kemahuannya tidak diperolehi, mulalah bergolek satu rumah, tanda protes. Setahun tiga bulan adalah fasa di mana anak sedang menyerap segala apa yang dilihatnya. Kata suami, Iman kuat merajuk seperti uminya, tetapi cute macam abinya. Sabar jerlah. Tang baik semua serah pada orang lelaki kan? Heheh...tetapi saya tidak ambil hati, tahu yang suami hanya bergurau. 

Yang pastinya saya tidak sabar untuk membawa Iman pulang kampung menyambut Syawal. Sebut pasal sambutan Syawal, saya yakin abah antara orang yang paling sibuk ketika ini. Bawa nenek membeli daging dan barang keperluan. Kalau dulu, sewaktu usia saya masih angka single, saya pernah mengikut abah mencari kayu untuk dibuat kayu api buat memasak ketupat. Masa itu dapur gas sudah wujud, tetapi nenek masih memasak ketupat menggunakan kayu api. Seronoknya! Ada shift orang yang akan menjaga, bimbang nanti air rebusan ketupat kering. Sekarang ini teknologi telah merubah segalanya. Tiada lagi daun ketupat yang dianyam. Semuanya segera. Masak 10 minit sudah siap. Argh, langsung tidak meninggalkan sebarang pengalaman dan memori untuk generasi sekarang. Sebab itu ikatan kekeluargaan zaman dulu lebih utuh dan rapat. Dibandingkan sekarang, jauh panggang dari api. Ikatan sedara lebih utuh dengan iPad, Samsung galaxy, S2, S3 dan macam-macam lagi. 

Peranan ibubapa sangat penting dalam mendidik anak. Two thumbs up saya berikan buat abah dan mak kerana banyak mendidik saya erti nilai murni dan kekeluargaan. Tiada wang ringgit atau iPad diberikan kepada kami, tetapi bekalan ilmu dan nilai murni yang membezakan kami dengan yang lain. Masih saya ingat, abah akan pastikan apabila ada tetamu atau sedara mara yang datang ke rumah, WAJIB setiap dari kami bersalam dan duduk bersama. Tiada istilah duduk berkurung di dalam bilik atau di dapur. Biarlah kami tidak boleh mencelah perbualan mereka asalkan kami duduk dan mengenali tetamu. Ya, abah sangat mengalu-alukan tetamu yang datang. Walaupun kadang-kadang makanan yang ada cukup-cukup untuk kami anak beranak, tetapi abah akan dahulukan mereka. Abah kata, tidak mengapa tetamu datang membawa berkat. Pada ketika itu, saya tidak dapat memahami maksudnya, tetapi kini saya jelas. 

Saya akan menggunakan metodologi yang sama dalam mendidik anak-anak. Walaupun bersalaman itu tampak remeh, tetapi ia mampu memberi genjatan yang kuat dalam kekeluargaan, menjadikan anak hormat orang tua, sedara mengenali sepupunya, cucu mengenali atuknya, anak sedara mengenali pakcik makciknya (as long as muhrim) Bukan apa, disaat hari terakhir kita nanti, mereka-mereka inilah yang akan memenuhi ruang rumah dan berdoa untuk kita bukannya encik iPad dan puan Samsung itu.

Jadi untuk Syawal ini, HARAMKAN anak-anak menggunakannya, especially di malam dan pagi Syawal. Perbanyakkan bertakbir dan berziarah kaum keluarga. Perkenalkan anak-anak dengan sedara mara dan tetamu yang berkunjung. Moga hasilnya akan kembali pada kita jua insyALLAH


Wednesday, August 8, 2012

DHUHA

Assalamualaikum w.b.t

Masa yang ada terasa begitu singkat. Ramadan sudah menghampiri ke penghujungnya. Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, banyak perkara yang perlu dibuat secara adhoc. Perlu ada perancangan, perlu ada jadual penyenaraian which is important AND urgent dan which is important BUT not urgent. Kalau tidak, sudah tentu kerja yang dibuat tidak menepati piawaian, ibarat melepaskan batuk di tangga (huk- huk). Buatlah apa sahaja, asalkan bersungguh. Biarlah tiada manusia yang memuji, yang penting Maha Pencipta mengetahuinya.

Saya rindu untuk menulis. Tetapi saya perlu dahulukan perkara lain yang agak lebih penting.  Oh ya, saya ingin share tazkirah ringkas oleh Ustaz Amin yang saya dengar di siaran radio IKIM.FM. Kata beliau "Ada manusia, yang pabila berdoa pada ALLAH untuk mendapatkan sesuatu, ALLAH makbulkan,". "Ada juga manusia, yang pabila memohon sesuatu , ALLAH tidak makbulkan terus.  Tetapi ALLAH gantikan dengan yang lain sebagai jalan untuk dia mencapai apa yang dipohonnya itu". 

Misalnya, Si polan berdoa untuk mendapat calon isteri yang solehah. Tiba-tiba suatu hari beliau dilanggar oleh seorang mat rempit dan dimasukkan ke hospital. Hikmahnya, sewaktu dirawat di hospital,  ALLAH telah  temukan beliau dengan seorang doktor yang mempunyai ciri-ciri yang diidamkannya. Mungkin ALLAH ingin menguji sejauh mana manusia mensyukuri nikmatnya. Takut-takut nanti bila terlampau mudah memperolehi sesuatu, kita menjadi manusia yang kufur nikmat. 

Paling penting teruskan berdoa. Amalkan doa Dhuha supaya ALLAH murahkan rezeki dan limpahkan rahmat. Tidak percaya? Cubalah dengan yakin. InsyALLAH kita akan mendapat hasilnya.

Ya Allah Sesungguhnya Waktu Dhuha Itu Dhuhamu
Kecantikannya Kecantikanmu Keindahannya Keindahanmu
Kekuatannya Kekuatanmu Kekuasaannya Kekuasaanmu
Perlindungannya Perlindunganmu
Ya Allah Jika Rezeki Masih Dilangit Turunkanlah
Jika Dibumi Keluarkanlah
Jika Sukar Permudahkanlah
Jika Haram Sucikanlah
Jika Jauh Dekatkanlah
Berkat Waktu Dhuha Kecantikanmu
Keindahanmu Kekuatanmu
Kekuasaanmu
Limpahkan Kepadaku Segala Yang Engkau Telah Limpahkan
Kepada Hamba-Hambamu Yang Soleh