Perbualan dengan teman rapat tempoh hari amat memberi manfaat. Walaupun tampak remeh, tapi hakikatnya itulah lumrah yang sedang berlaku sekarang. Teman saya bertanya adakah saya pernah bercinta sewaktu saya berada di tingkatan 5 dahulu? Saya jawab "masa di tingkatan 5, saya pakai baju kurung dengan tudung pun tidak sedondon, baju hijau bunga-bunga, tudung pula warna biru bercorak. Diri sendiri pun tidak terjaga, inikan pula hendak berboypren". Tergelak kawan saya mendengarnya.
Ya, memang benar. Sewaktu zaman saya dulu, istilah 'handphone' tidak pernah wujud dalam hidup. Apatah lagi muka buku (facebook), memang tidak ada. Jika ada rakan yang mempunyai handphone, pasti gempar satu sekolah asrama saya, dan orang itu sudah tentunya anak orang berada. Boleh dihitung dengan jari siapa yang bawa handphone ke sekolah, itupun nyorok-nyorok.
Kalau mahu berhubung dengan keluarga, terpaksalah menggunakan telefon awam. Beratur panjang menunggu giliran. Sampai giliran, telefon 'rosak' pula. Adoiii. Kematian moyang saya juga hanya diketahui selepas 2 minggu. Berita itu sampai daripada rakan sekampung. Tiada sms, tiada panggilan telefon. Zaman yang serba kekurangan, tetapi saya masih lagi mampu meneruskan kehidupan. Zaman sekarang ini, kalau tertinggal handphone di rumah, bagaikan tidak boleh hidup. Semua perkara jadi susah. Betul tak?
Sebab itulah, remaja sekarang agak 'lain macam'. Generasi yang bukan lagi Gen X dan Gen Y. Maaf jika ayat sedikit kasar, generasi ini agak degil berbanding generasi saya dulu. Jika dulu, ibubapa boleh menghukum anak-anak dengan memukul, tetapi jika generasi sekarang diajar sebegitu, confirm lari dari rumah. Zaman sekarang semuanya mudah. Telekomunikasi mudah dicapai di mana sahaja.
Teman saya tadi cuba menghukum dengan merampas handphone anaknya yang sedang mabuk bercinta. Saya katakan padanya, jika mereka tidak dapat berhubung melalui telefon, ada banyak cara lagi yang boleh mereka lakukan. Pergi sahaja cybercafe yang melambak-lambak sekarang ni, bukak facebook atau email, terus saja hantar message. Even, kalau hendak chat sambil nampak muka pun boleh menggunakan facebook, skype dan macam-macam lagi. Terdiam dia mendengar kuliah ringkas saya heheh...
"Habis akak hendak buat macam mana lagi?," soalnya. "Semalam akak sudah pukul dan rampas handphone dia, tapi macamana hasilnya?,''soal saya pula. Saya rasa, saya sudah ada jawapannya. Sudah pastilah anak gadisnya akan memberontak, berkurung seharian di dalam bilik, tanda protes dengan hukuman yang diterima.
Inilah dugaan yang terpaksa dihadapi oleh ibu bapa zaman sekarang. Tidak patut menyalahkan 100% kepada anak-anak. Cuba lihat pada diri kita sendiri. Berapa banyak masa yang kita ada untuk bermesra dengan anak-anak? 8 jam berada di pejabat. Pagi sebelum mereka ke sekolah, di meja makan kita sudah membebel. Anak balik dari sekolah, kita masih lagi tersekat dalam kesesakan jalanraya. Sampai sahaja kita di rumah, terus sahaja membebel sebab lihat rumah bersepah. Lagi sekali anak dipersalahkan. Langsung tiada sapaan mesra pada anak-anak. Alasannya mudah. Ibubapa penat bekerja, cari duit untuk membesarkan mereka. Jadi peranan anak-anak WAJIB dengar cakap, ya! Jika ibu kata Hitam, maka Hitamlah jawapannya.
Pernah ke kita selidik atau kaji apa sebenarnya yang mereka mahukan? Bukan wang ringgit semata, tapi bagilah sedikit pujian, pelukan mesra agar mereka tahu bahawa mereka dihargai. Sebab itulah, anak-anak zaman sekarang cuba mencari hiburan di luar. Mula berjinak-jinak dengan boypren, kerna pada mereka, boypren lebih memahami, lebih menyayangi dan lebih mudah memberi 'pelukan mesra' berbanding ibu bapa. Kita rasa geli bila melihat couple muda ini, hakikatnya tepuk dada tanyalah selera. Cuba hitung berapa kali dalam sehari kita memeluk dan mencium anak sendiri. Bekerja siang malam untuk siapa? Bukan kah itu mereka? Untuk kebahagian mereka?Oh teremosi pula.
Percaya atau tidak, cubalah pergi ke Bukit Bintang pada hujung minggu. Pasti sakit mata melihat gelagat anak muda. Orang melayu sudah tidak nampak kemelayuannya. Yang perempuan mengenakan pakaian bagaikan hidup di zaman nomad, kurang kain, singkat bagaikan mahu tunjuk semua. Mengikut fesyen katanya. Yang bercouple pula tidak segan silu, berpeluk di khalayak ramai. Boleh saya jangka kebanyakan mereka yang duduk melepak ini masih lagi di awal-awal usia remaja dan bersekolah.
Sering saya dan suami berbicara dan mengeluh melihatkan gelagat anak muda zaman sekarang. Jelas, kami risau dengan apa yang bakal berlaku pada generasi anak kami. Sudah cukup ke bekalan Ilmu agama yang kami berikan kepadanya?Ya, kembali kepada agama, itulah jawapan akan permasalahan ini. Bekalan agama perlu kukuh, agar mereka dapat membezakan di antara baik dengan jahat, kotor dengan bersih, dosa dengan pahala, wajib dengan haram. Takutnya jika kami gagal mendidik waris dan amanah ALLAH ini. Peringatan untuk diri sendiri jua, perbaiki diri agar mampu menjadi ibu bapa berkualiti.
0 comments:
Post a Comment