Iman khalish.....
Di kala jam menunjukkan angka 12, pada tarikh 4 Mei 2011, perut umi terasa seperti dicucuk-cucuk, tulang belakang sakit bagaikan dipulas-pulas. Umi yakin, mungkin masanya telah tiba. Masa yang saban lama telah umi dan abi nantikan selama ini. Perasaan yang bercampur aduk. Takut, sakit dan gembira semuanya ada. Umi kejutkan abi yang sedang nyenyak tido di sebelah. Umi minta abi urut sedikit belakang umi yang semakin rasa sakit. Kerapkali umi ke tandas, kali terakhir ada sedikit pendarahan.
Jam 12.15 pagi, abi bawa umi ke hospital. Sepanjang perjalanan umi, berdoa moga Iman khalish mudahkan umi nanti. Cepat-cepatlah keluar "nak", umi usap perut. Umi tahu, Iman dengar waktu itu umi menangis sebab umi takut dan sakit. Sampai di hospital, doktor buat pemeriksaan, bukaan baru 1 cm. Allah masih jauh lagi perjalanan yang terpaksa umi tempuhi. Umi perlu tunggu di wad, sebab doktor kata air ketuban umi dah pecah. Abi tidak boleh tunggu umi di wad, lagi sekali umi menangis sebab abi kena balik rumah.
Sepanjang malam sampai ke subuh, umi tidak boleh tidur. Selang beberapa jam doktor bertugas akan memeriksa umi. Jam 9 pagi, bukaan hanya 3 cm. Setiap kali doktor membuat pemeriksaan, setiap kali itu umi rasa macam hendak pitam. "Sakit doktor, jangan kuat-kuat sangat" pinta umi pada doktor. Entah kali ke berapa agaknya doktor buat pemeriksaan, umi pun tidak pasti, tapi pukul 10 pagi umi di tolak ke bilik persediaan. Kali ini umi tidak dibenarkan makan dan minum lagi. Hanya air dimasukkan ke dalam badan, buat bekalan tenaga umi nanti. Nurse marah umi sebab tidak makan pagi tadi, macamana umi hendak makan, perut dan belakang umi sangat sakit. Tapi umi diam saja, malas hendak menjawab.
Umi lihat jam di dinding, sudah pukul 1 petang. Umi dengar di luar bunyi hujan lebat. Umi doa agar Iman selamat. Biar apa yang akan berlaku, yang penting, anak comel umi ini selamat. Abi, mak ngah dan mak-mak (panggilan untuk nenek iman) setia menunggu di luar. Doktor datang buat pemeriksaan, umi sangat risau bila doktor kata jantung Iman Khalish berdegup kuat dan laju. Umi usap perut, umi cakap pada Iman supaya bertahan dan umi cerita semua orang tengah tunggu iman, tidak sabar melihat iman. Alhamdulillah, Iman dengar cakap umi. 2 jam lepas itu, doktor kata, jantung Iman kembali normal.
Jam menunjukkan pukul 3.30, doktor kata bukaan masih 3 cm. Allah, umi redha. Ini semua ujian yang telah diaturkan buat umi, atas kesalahan dan dosa yang lepas. Lambat sungguh masa berlalu. Doktor nasihat agar umi ambil ubat tahan sakit, umi angguk. Masa itu, umi bagitau doktor, buatlah apa sahaja, asalkan kamu selamat nak. 4.30, nurse yang bertugas sudah silih berganti. Tapi umi masih di sini, di atas katil menanti apa yang akan berlaku seterusnya. Tidak putus-putus mulut umi membaca doa dan selawat. 5 petang umi ditolak masuk ke bilik bersalin. Abi pun ada. Kali terakhir doktor pakar datang membuat pemeriksaan. Allahuakbar, masih 3cm tiada perubahan. Umi sudah keletihan.
"Puan kita sudah menunggu lebih 12 jam, supaya puan boleh bersalin normal, tetapi bukaan puan masih tiada perubahan, kami takut bayi puan lemas, jadi kami sarankan puan dibedah", perlahan-lahan doktor memberi penjelasan. Umi redha, abi pun sama. Semuanya berlaku pantas selepas itu, umi ditolak masuk ke dewan bedah tanpa sempat mencium dan memeluk abi.
Umi dengar sayup-sayup suara azan. Umi buka mata, keliling umi ramai sungguh orang yang berpakaian putih. Alhamdulillah, suara orang di sebelah umi. Katil umi terus ditolak. Mana Iman Khalish? Umi langsung tidak dengar suara mu, nak. Tapi umi tidak mampu bersuara. Umi mengigil sangat kuat. Umi minta selimut tebal, umi tarik tangan orang di sebelah untuk kurangkan sejuk. Tiba-tiba ada suara memanggil doktor, mengatakan perut umi berdarah kembali. Allah, umi rasa bingung mungkin akibat kesan ubat pelali. Umi redha.
Dalam samar-samar Umi nampak abi. Abi cium umi. Abi tunjuk gambar pada telefon bimbit. Alhamdulillah, anak umi selamat. Syukur Ya Allah. Abi kata Iman comel, ada lesung pipit di sebelah pipi kanan. Umi rasa bahagia. Hidup umi sudah lengkap sekarang. Umi akan besarkan iman dengan penuh kasih sayang dan "iman". Abi kata umi alami komplikasi sewaktu dibedah. Peparu alami kekejangan (broncospasm) sebelum sempat iman dikeluarkan. Jadi doktor selamatkan umi dulu, kemudian baru Iman di keluarkan dari perut umi tepat jam 5.47 petang (3.47kg). Sebab itu, 1 malam umi kena tinggal di dalam wad HDU berbekalkan oksigen. Iman Khalish pula malam itu perlu dimasukkan ke NICU sebab alami kesukaran bernafas. Umi risau, umi berdoa agar anak umi selamat.
Alhamdulillah, sekarang di waktu umi sedang menulis, Iman sudah berusia setahun. Syukur ya ALLAH memberikan umi peluang merasai nikmat mengandung, melahirkan, menyusukan dan membesarkan anak daripada benih kami sendiri. Moga Iman membesar dengan sihat, menjadi mata rantai perjuangan Islam, berjaya dunia-akhirat dan menghafaz Al-Quran...Ameen.
Selamat hari lahir anak umi!
0 comments:
Post a Comment