Tuesday, October 15, 2013

'Hidayah'

Assalamualaikum w.b.t

Memang benar kata ustaz, hidayah itu ALLAH akan beri kepada sesiapa yang dikehendakiNYA dan ia juga perlu dicari oleh manusia. Dia yang saya kenal, dulunya tidak lancar bacaan Al-Quran, solat juga perlu diingatkan. Kalau orang lain, sekolah agama sudah sampai ke peringkat kelas Khas, tapi dia tersekat dipertengahan jalan. Tetapi saya yakin ALLAH sayangkan dia dan pastinya doa si ibu yang tidak henti-henti telah merubah hidupnya sekelip mata.

ALLAH telah memilih dia untuk menerima hidayah. Kematian rakan baik dihadapan mata akibat sakit jantung sewaktu bermain badminton telah membuka matanya bahawa yang hidup pasti akan menemui PenciptaNYA. Sedikit demi sedikit kehidupannya berubah. Surau dan masjid kini menjadi tempatnya mencari ilmu. Solat subuh berjemaah tidak langsung ditinggalkan jauh berbeda dengan kita yang kononya mengaku SUCI. Ilmu agama dan hadis mula dipelajarinya serta dia yang dulunya si perokok tegar kini telah berhenti merokok sepenuhnya setelah kembali dari menunaikan umrah. Hebat bukan, besar sungguh kuasa ALLAH, hinggakan dia kini juga sudah 2 kali menunaikan ibadah umrah. Si isteri juga dididik untuk menutup aurat dengan sempurna bahkan solat 5 waktu turut dijaga rapi.

MasyaALLAH, moga kisah dia menjadi iktibar buat kita yang memang pada keturunannya adalah Islam. Yang tidak perlu menyorok daripada keluarga untuk mengenakan tudung dan menutup aurat, berbeza dengan kisah mereka yang lain seperti golongan mualaf yang perlu berselindung untuk menunaikan tuntutan agama. 

Moga kita kembali kepada Maha Pencipta dalam keadaan yang diredhai.