Tuesday, October 1, 2013

Usia yang masih berbaki

Assalamualaikum w.b.t

Sewaktu ke Chow kit membeli barang keperluan untuk tempahan STew Kambing, mata terpandang pada sepasang suami isteri yang serba kurang upaya. Isteri yang OKU sedang menolak wheel chair suaminya. SubhanAllah berpeluh makcik itu menolak suaminya padahal jalan di situ hanya berbukit sedikit. Ya, SEDIKIT berbukit bagi kita orang yang sihat, tetapi tidak bagi mereka. Saya teruskan perjalanan.Dalam hati kuat mengatakan jika saya tidak membantu, saya adalah manusia yang paling hodoh dan teruk di dunia! Saya toleh ke belakang, makcik itu masih menolak dalam kepayahan. Lalu saya dekatkan diri untuk membantu. Namun pasangan tadi menolak dengan baik. Saya tetap cakap saya ingin membantu, lalu makcik tadi akhirnya akur dengan permintaan saya. Allah terima kasih kerna buka hati saya utk membantu. Pakcik itu tidaklah seberat mana utk ditolak tetapi bagi kita kudrat manusia yang sihat. Saya menolak wheel chair sedikit laju agar pasangan ini cepat sampai, tiba2, makcik tadi jatuh terjelupuk ke jalanraya. MasyaALLAH rupanya makcik itu jalannya turut bergantung pada wheel chair tersebut.Saya tahan air mata dari mengalir. Sukarnya hidup mereka. Moga ALlah murahkan rezeki saya agar dapat terus berkongsi nikmat kehidupan kepada manusia lain...sekarang -tgh banjir-

Selamat Hari Lahir empunya diri, Roshidah Alwi. moga di usia yang masih berbaki ini, ALLAH terus luaskan rezeki agar berpeluang untuk berkongsi nikmat kehidupan dengan manusia yang memerlukan, terus berbakti kepada ibubapa dan menjadi isteri yang cemerlang dunia akhirat. Saya mohon maaf kepada suami dan keluarga serta sahabat atas kesilapan yang telah saya sengaja atau tidak sengajakan. Mohon pada ALLAH agar setiap langkah saya di bawah keredhaannya.

Thursday, September 19, 2013

The power of WANT

Asalamualaikum w.b.t

Besarnya kekuatan rasa MAHU menjadikan manusia lebih kuat. Masakan seorang ibu boleh mengandung dan membawa muatan lebih, selama 9 bulan jika tiada rasa MAHU. Masakan seorang ibu boleh melahirkan anak sehingga 12 orang walau rasa kesakitan seperti hampir putus nyawa jika tiada rasa MAHU. Yup, setiap yang dilakukan jika tiada kemahuan, pasti terhenti ditengah jalan, tiada arah tuju. Hampir setahun setengah saya melalui perjalanan menjadi seorang siswazah tua. Jika tiada rasa MAHU, tidak pasti saya boleh berada di sini-UKM. 

Belajar ketika anak sedang membesar benar-benar menguji kekuatan dan kesabaran. Ditambah dengan bilangan assignment serta lab report yang semakin meninggi susunan saban hari, diselang seli dengan anak yang kerap kali kuar masuk wad serta minggu peperiksaan yang mendebarkan, hampir membuatkan saya putus asa. Suami sebagai peneman setia sering mengingatkan dan membantu saya kembali semula kepada 'kemahuan'. 

Benar, jika jalan mencari ilmu tidak saya pilih, pasti saya ketinggalan jauh, berada di dalam comfort zone dan malas menambah ilmu. Padahal saya seorang ahli akademik, ilmu yang sedia ada tidak semestinya sentiasa cukup, perlu sentiasa disemai dan ditambah agar mempunyai nilai. MAHU berkongsi ilmu dan nikmat yang ALLAH kurniakan ini kepada semua orang, MAHU menjadi manusia extraordinary adalah satu kekuatan yang menarik saya untuk terus berusaha dan berada di dalam kelompok manusia yang MAHU berjaya Dunia Akhirat. Alhamdulillah kini saya melalui fasa yang menghampiri garisan penamat, moga ALLAH kuatkan rasa MAHU ini hingga saya mampu menyarung jubah di hari konvokesyen dan menjadi inspirasi buat Little star Iman Khalish. 

Friday, August 16, 2013

Ilmu dan nikmat milik ALLAH

Assalamualaikum w.b.t

Mengambil ruang di luar masjid, saya rasa tenang di sini. Sewaktu sedang mentelaah sebelum menduduki peperiksaan Semester 1 dahulu, saya didatangi dengan seorang budak lelaki berusia sekitar 11 tahun.

Budak: akak buat apa?
Saya: tengah belajar dik
Budak: oh, susah tak? Akak sekolah mana? (Sambil mata melilau melihat nota tebal saya yang menimbun)
Saya: taklah adik, bukan sekolah tapi kt Universiti. wow, sekolah lagi ke muka aku nih (kembang kempis hidung saya huhu).

Budak itu mengangguk seolah memahami penerangan saya. Tiba-tiba dia bersuara;

Budak: akak, akak ada Rm 4?
Saya: eh nak buat apa?
Budak: nak beli roti, belum makan lagi.
Saya: mak tak masak ke? Adik duduk mana? Sambil melihat jam tangan yang sudah menunjukkkan pukul 11 pagi.
Budak: belum. Saya duduk di flat belakang sana.
Saya: akak takde duit pecah, kejap lagi lepas zuhur akak bagi. (Dalam hati sedikit tidak percaya
dengan penjelasan budak itu)
Budak: ok kak. (Sambil berlari kecil meninggalkan saya sendirian)

Usai bersolat zuhur, saya jengah melalui tirai jarang masjid yang membezakan ruang solat lelaki dan wanita, Namun kelibat budak lelaki itu tidak kelihatan. Tidak pasti ke mana agaknya budak itu pergi. Mula rasa timbul perasaan bersalah pada diri sendiri. Mungkin ALLAH datangkan budak itu untuk melihat sejauh mana saya mensyukuri nikmat ALLAH, rm 4 apalah sangat ertinya jika hendak 
dibandingkan dengan ilmu dan nikmat yang ALLAH pinjamkan buat saya. Jika benar pun budak itu berbohong, niatkan sahaja memberi dengan ikhlas kerna ALLAH. Semua ini milk ALLAH, sedikit sahaja yang dipinta saya sudah was-was. Menyesalnya saya.

Minggu kedua berikutnya saya teruskan mentelaah di ruang masjid. Dalam hati berdoa moga
ALLAH ketemukan saya kembali dengan budak lelaki itu. Alhamdulillah, saya akhirnya bertemu lagi dengannya.

Saya: "adik, mari sini", panggil saya
Budak: akak datang belajar lagi?
Saya: a'ah, hari itu akak tunggu lepas zuhur, mana adik pergi?
Budak: saya main belakang masjid
Saya: dah makan? (Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari)
Budak: belum (sambil mengeleng kepala)
Saya: mak tak masak ke? Ayah? (Soal saya lanjut)
Budak: mak dengan ayah kerja
Saya: Kerja apa?
Budak: Ayah kerja kilang, mak kerja mmm...susah nak sebut.
Saya: takperlah macam tu, lepas ini pergi makan (saya menghulurkan sedikit wang kepadanya)
Budak: Terima kasih banyak kak, sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dengan saya.

Saya TIDAK pasti sejauh mana benarnya kisah budak itu, tapi saya yakin ALLAH mahu mendidik saya supaya berkongsi nilai yang ada walaupun tidak sebesar mana. Memberi bukan sahaja pada wang ringgit, tetapi juga pada ilmu yang diperolehi. Usah lokek untuk berkongsi kerna nilai inilah yang akan menjadi peneman di dalam kubur nanti.











Thursday, August 1, 2013

Salam penghujung Ramadhan

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah masih diberi peluang untuk terus bernafas dalam keadaan sihat di akhir bulan Ramadhan ini. Suka untuk berkongsi tazkirah di radio ikim sebentar tadi, ustaz mengatakan bahawa seorang wanita, jika tidak mampu untuk ke masjid disebabkan kepelbagaian kekangan, maka cukuplah untuk dia menunaikan ibadah di rumah. Malahan, jika dikala orang lain berebut-rebut untuk mencari malam Lailatulqadar, tetapi wanita pula diberi cuti semester (keuzuran),lalu bagaimana cara untuk wanita turut mendapat pahala dan ganjaran yang sama sepertimana mereka yang menunaikan ibadah? 

Ada banyak cara yang boleh dilakukan oleh seorang wanita, menyediakan hidangan untuk suami dan anak-anak juga dikira sebagai ibadah, malah berdoa dan berzikir semasa melakukan tugasan di rumah turut ALLAH akan beri ganjaran. Serius, beberapa kali saya suarakan rasa cemburu pada suami setiap kali beliau pulang dari terawih tetapi saya hanya berpeluang berterawih di rumah sahaja disebabkan hero yang semakin lasak. Setiap kali itu juga suami mengatakan,ustaz kata, jika isteri redha suaminya pergi, maka isterinya juga turut sama mendapat pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh suami, tanpa sedikit pun mengurangkan pahala suami. Inilah keistimewaan yang ALLAH berikan pada golongan wanita, maka bersyukurlah dan redhalah dengan apa yang telah diaturkan kepada kita. 

Moga ALLAH merahmati kita!Amin...

Salam akhir Ramadhan dan Syawal  dari saya. Love uols....

Tuesday, July 2, 2013

Erti pada tangan yang memberi.

Assalamualaikum w.b.t

Menyusuri perjalanan untuk mencari Rumah Kasih Harmoni (RKH) a.k.a rumah perlindungan, hati terdetik mana mungkin di celah-celah rumah yang agak mewah di Keramat ini ada terletak rumah perlindungan kanak-kanak. Beberapa kali saya rujuk pada pesanan sms yang dihantar oleh Ustaz Zahari (pengasas) yang memberi alamat penuh rumah tersebut, rakan (fida) di sebelah masih sibuk menekan keypad di telefon bimbit menggunakan perisian moden untuk mencari lokasi sebenar RKH. Alhamdulillah, urusan dipermudahkan petang tadi kerna kami akhirnya menjumpai tempat yang dicari-cari. Sebelum ini, hanya berhubung dengan pihak RKH melalui sms dan setelah beberapa kali misi untuk berziarah ke sini tertangguh dek kesibukan dunia, saya cuba juga untuk bertemu dengan anak-anak RKH.



Mesti ada yang tertanya-tanya, siapa anak RKH ini. Eventually, mereka adalah anak-anak yang perlu dibantu, anak-anak yatim, anak dari keluarga yang susah, and even ada di kalangan anak ini terpaksa membesar di sini kerana ibu mereka terpaksa merantau jauh untuk mencari rezeki. Sebak melihat nasib yang dialami, sedangkan kita di luar sini sibuk meratapi kehidupan yang kononnya masih belum cukup, padahal setiap minggu pasti drive through di KFC, makan mewah-mewah, bersilih ganti membeli tudung untuk dipadankan dengan baju yang hampir membuak di dalam almari. Itu pun masih tidak cukup.

Anak-anak ini, makannya berkongsi di dalam dulang. Tidur beralaskan tilam hasil bantuan ehsan orang lain. Ada seorang anak kecil yang usianya sama seperti Iman Khalish iaitu 2 tahun, tetapi sudah diajar untuk memakai baju sendiri dan terpaksa dilatih untuk tidak memakai pampers bagi mengurangkan kos. Hebatnya anak-anak ini, melalui zaman kecil tanpa kasih sayang ibubapa. Tapi anak saya cukup beruntung, masih dapat merasa untuk tidur diulit rasa sejuk air-cond di kala anak-anak ini tidur kepanasan akibat serba kekurangan. Anak ini rajuknya tiada siapa yang pujuk, anak kita, rajuknya disogok dengan aiskrim dan mainan.






Kengkadang kita terlupa, yang sebahagian daripada duit/harta kita perolehi adalah milik mereka yang perlu dizakatkan. Kita juga terleka yang setiap apa yang ALLAH kurniakan ini adalah pinjaman semata-mata. Kata ustaz di radio IKIM, cuba perhatikan sos cili, kicap yang ada di rumah, semuanya  ada tarikh luput, begitu juga dengan kita. Mengapa perlu hidup di dunia dalam keadaan bermegah dan lupa untuk berkongsi pada yang memerlukan. Bukankah ini akan menjadi saham kubur kita nanti 
selain ilmu yang bermanfaat, doa anak yang soleh adalah amal jariah sewaktu hidup.

Maaf, sekadar berkongsi dan peringatan untuk diri sendiri jua. Moga bulan Ramadhan yang bakal menjelma menjadikan kita manusia yang lebih mensyukuri dan memberi. Cukup sekadar perkongsian ringkas ini, jika ada sahabat yang ingin turut serta membantu dalam "projek sharing RM1" boleh maklumkan kepada saya. Rakan saya difacebook yang ramai bilangannya, jika setiap seorang memberi RM 1, saya jangka sekiranya dikumpul, kita mampu untuk meringankan beban mereka. 

Ikhlas
Umi of Iman Khalish (she_za2267@hotmail.com /0169083017)


Thursday, May 23, 2013

Cinta hati

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, bersyukur atas segala nikmat yang kurniakan. Nikmat mampu bernafas, nikmat pancaindera, segala-galanya yang ALLAH kurniakan kepada kita supaya kita menjadi hamba yang lebih bersyukur. Enam tahun bergelar isteri kepada cinta hati saya. Again, syukur! Allah terbitkan rasa kasih dan sayang buat kami. Perkenalan yang berlaku ketika sama-sama belajar di Universiti dulu sewaktu final year, akhirnya disulami dengan lafaz halal 'Aku terima nikahnya......'. Bagi saya, dia adalah anugerah buat saya. Teman di kala saya sedih dan gembira. TIDAK pernah mengeluh walau terpaksa menunggu saya bersiap lama. Maklumlah, orang perempuan ni, kalau bersiap perlu mengambil masa yang bukan seminit. Penting untuk pastikan cinta hati kita seorang yang penyabar. Ya, topik hari ini tips memilih cinta hati...ehem ehem...assignments masih berlambak tapi masih sempat berblog gitu, huhuu..mmm, maklumlah hari ini kami ambil masa untuk berdua, sambut anniversary ke 6. Little star Khalish, kena hantar duduk Umah pengasuh huhuu...so mood bercinta masih segar sebab itu saya hendak share pengalaman saya bersama cinta hati (auww)..maaf saya sekadar berkongsi, TIDAK terlintas untuk menunjuk atau sebaliknya. 

Utamanya dalam memilih teman hidup pastikan tahap ilmu agamanya. Calon suami yang tahu selok belok agama insyALLAH segala tindakannya pasti berlandaskan Al-Quran, hadis dan cuba mencontohi Rasulullah sebagai tauladan. Believe me, suami yang sering mengajak isterinya bersolat jemaah adalah suami yang hebat! Tapi kalau calon suami, TIDAK menjaga solat, bimbang nanti hendak jaga keluarga pun huru-hara. Umpama ketua kapal dalam sebuah pelayaran, kalau ketua sendiri TIDAK tahu ke mana arah tujuan/destinasi, habis satu pelayaran sesat jalan. 

Oky,mudah bukan? lihat dulu tips utama ini, ada atau tiada pada si dia?kalau tiada, hello gurl, definitely u have to say bye bye pada cinta hati palsu anda itu. Tapi kalau tetap rasa rupa paras dan wang ringgit adalah menu utama, then i have nothing to say. Heheh....

Believe me, lelaki yang tinggi agamanya, ADALAH lelaki yang cemerlang akhlaknya. Tidak akan membiarkan kita bersendirian membuat kerja rumah, tidak akan membiarkan kita letih bersendirian menjaga anak, tidak akan membiarkan kita rasa kecewa dan insyALLAH tidak akan membiarkan kita  jauh dari Pencipta...

Terima kasih pada cinta hati saya Ahmad Khusyairi, selamat hari ulangtahun perkahwinan. Moga ALLAH tetapkan rasa cinta dan sayang ini hingga ke syurga. Nak tips lain? Nanti saya sambung, nak g dating dulu dengan suami hehheh

Sharing is caring




Thursday, March 21, 2013

Abah...


Assalamualaikum w.b.t


Solat maghrib jemaah terasa sayu pabila abah melaungkan azan. Terima kasih ALLAH kerana masih meminjamkan abah dan mak kepada kami adik beradik. Ahad lepas mendapat berita bahawa abah tiba-tiba hilang memori apabila bangun dari tidur. Bagaikan mahu terus berlari pulang ke kampung untuk menjenguk dan memeluk abah. Usia abah sudah menjangkau 65 tahun, secara fizikalnya abah masih tampak sihat dan cergas. 

Menurut mak, petang ahad sewaktu abah terjaga dari tidur, abah tiba-tiba tidak dapat mengingat dengan baik. Kebetulan jiran sedang membuat kenduri kahwin, jadi abah terpaksa meletak keretanya jauh sedikit dari kawasan rumah. Namun, abah sendiri tidak dapat mengingati di manakah dia meletak keretanya, siapakah yang membuat kenduri kahwin dan adakah dia sudah menghadiri majlis tersebut. Hampir beberapa kali abah bertanya soalan yang sama, mak mulai risau. Mak minta abah mengambil wudhu dan menunaikan solat. Allahurabbi, mujur mak ada di rumah, kalau tidak, entah apalah yang mungkin berlaku. 

Sewaktu menerima berita dari mak, air mata mengalir deras. Dalam pada jam di dinding menunjukkan waktu 12 tengah malam, hati tidak keruan. Berdoa moga keadaan abah kembali stabil. Abang-abang di johor telah bertolak pulang untuk menjenguk. Saya pula masih berfikir-fikir bagaimana untuk pulang memandangkan terdapat kuliah master (presentation) yang perlu saya hadiri dan pastinya ia mengambil kira markah final saya nanti. 

Abah adalah segalanya buat kami adik beradik. Jika kami atau cucunya sakit, sudah pasti abah dan mak adalah orang yang tidak senang duduk, sanggup memandu kereta kelisa 'comelnya' sejauh 6 jam perjalanan dari Mersing ke Kl untuk menjenguk kami. Walaupun ada suara-suara sumbang yang 'menasihati' abah supaya membiarkan kami adik-beradik menguruskan urusan keluarga masing-masing, namun abah dan mak bukan begitu. Tidak sama sekali abah dan mak membiarkan kami susah. Dari dulu hingga kini. Rela bergadai harta, mencatu belanja dan beras demi untuk membesarkan kami adik-beradik. Bekerja sebagai pemandu lori JKR, berapalah sangat gajinya, tetapi jiwa abah besar, tidak sesekali mengeluh di hadapan kami. 

Syukur kerna mengurniakan kami keluarga yang benar-benar bahagia dan dapat merasai nikmat kasih sayang dari mak dan abah.  Walaupun kami tidak kaya seperti orang lain, tetapi kami kaya dengan kasih sayang. Mengenangkan itu, kami tolak ketepi urusan lain. Ilmu dan wang bila-bila boleh dicari, tetapi abah dan mak adalah HARTA paling berharga yang tiada gantinya. 


Tiada lafaz lain selain syukur kerna abah kembali pulih dan boleh mengingat semula. Dalam nada bergurau (abah saya memang kuat bergurau) abah cakap "jangan risau, nanti daripada tidak teruk, abah akan jadi lebih teruk kalau tengok muka korang macam ni" huhuu...

Sebelum ini, abah kerap juga mengadu sakit di bahagian tengkuk dan kepala. Risau keadaan abah semakin teruk walaupun tampak pulih sedikit, kami bawa abah untuk membuat medical check up. Ujian MRI menunjukkan terdapat blockage pada salur darah di kepala dan ada tanda menunjukkan abah mengalami mild stroke. Allah, dugaan sangat besar buat kami sekeluarga tapi kami bersyukur sekurang-kurangnya penyakit abah dapat dikesan awal. Moga ALLAH sembuhkan abah, kurniakan abah kesihatan yang baik dan ringankan penyakit yang ditanggungnya.

Untuk reader di luar, ambillah sedikit masa dalam sehari untuk menghubungi ibu bapa. Bimbang nanti, suatu ketika tidak berpeluang mendengar suara dan tawa mereka lagi. Jika di facebook kita mampu mengupdate status setiap seminit, tetapi adakah kabar berita mereka di kampung kita update sebegitu rupa? tepuk dada tanyalah iman...Bagi yang telah berkerjaya, jangan lupa, berbelanja atau bahagikan sedikit portion setiap bulan untuk mereka walaupun tidak sebanyak mana ataupun tidak diminta, sekurang-kurangnya kita memberi. Berkongsi hasil titik peluh dengan ibu bapa adalah lebih barakah berbanding berkongsi dengan pengusaha kedai tudung, kedai di Jln TAR, SOGO, JAKEL atau sewaktu dengannya.

Moga ALLAH melipatgandakan pahala dan rezeki bagi mereka yang sentiasa membahagiakan ibu bapa. Amin...


-Hasil nukilan ikhlas sewaktu memandu dalam 'jem' dan butter di jalanraya-