Assalamualaikum w.b.t
Hati sangat tersentap bila melihat seorang bapa yang memukul anak kecil dalam usia sekitar 4 tahun di khalayak ramai. Mungkin tindakan refleks bapa yang terkejut apabila melihat anaknya nyaris-nyaris dilanggar oleh sebuah kereta di stesen minyak, menyebabkan si bapa memukul dan menampar anak kecil itu. Tidak cukup dengan itu, bapa tersebut turut menolak anaknya sampaikan tersungkur jatuh, akibat hati yang tersangat marah melihat anaknya yang barangkali tidak berhati-hati berlari ke arah kereta mereka.
Anak kecil seawal usia 4 tahun, apa lah yang mereka faham. Jiwa dan fitrah mereka memang hanya tahu bermain sahaja. Tidak dapat membezakan antara bahaya atau tidak. Tetapi ibu bapalah yang perlu mencorak dan mengajar mereka. Mahu saja, saya turun dari kereta dan memujuk anak kecil itu yang sedang menangis kesakitan akibat dipukul bapanya. Mahu juga saya jerit pada bapanya, yang anak itu tidak bersalah. Tetapi yang bersalah adalah "KAU". Kau yang cuai sebab tidak memimpin tangan anak sewaktu melintas. Sepatutnya, si bapa memeluk anak itu dan bersyukur sebab tidak dilanggar, dan umurnya masih panjang.
Adakah, perlu tunggu nyawa sudah tiada baru menyesali, menangis dan meratapi tubuh kecil itu? Boleh, jika hendak menghukum anak-anak, tetapi jangan keterlaluan. Dalam agama pun sudah diajar, bagaimana cara hendak menghukum. Jangan menghukum anak atas sebab melepaskan geram, tapi cukuplah sekadar ingin memberi pengajaran.
Kita marah anak sebab tidak toleh kiri kanan sewaktu melintas jalan, tapi kita sendiri langgar lampu isyarat. Kita marah anak sebab suka makan gula-gula takut gigi rosak, tapi kita sendiri hisap rokok, (tak bahaya ke?), kita marah anak sebab tidak score dalam exam, tapi kita sendiri bijak sangat ke? Kita marah anak sebab tidak hormat orang tua, tapi kita sendiri tidak ada masa untuk peluk anak. Kita marah anak sebab tidak solat 5 waktu, tapi kita sendiri subuh "gajah".
Apa-apa pun kembali pada dia sendiri. Peranan ibu bapa dalam institusi kekeluargaan sangat penting. Semua orang buat salah, yang penting berusaha untuk meminimumkan kesalahan dan cuba memperbaiki diri. Menghukum bukan untuk melepaskan geram, tapi menghukumlah untuk mendidik.
0 comments:
Post a Comment