"Hari ini belajar ok?. Ada yang tidak faham ke?", tanya abah.
"Ok, seronok sebab dapat cikgu matematik yang baru," jawab saya. "Tapi,yang tak bestnya, idah terpisah dengan kawan-kawan lama," tambah saya lagi.
"Takperlah, idah belajar rajin-rajin, kalau tak faham, tanya cikgu atau tanya pada kawan-kawan yang boleh bantu. "Tunjukkan suatu hari nanti idah boleh duduk semula satu kelas dengan kawan-kawan lama," pesan abah.
Suatu ketika dulu, sewaktu berada di tingkatan 1, akibat keputusan UPSR yang tidak berapa baik saya telah dicampak ke kelas yang agak jauh grednya berbanding rakan-rakan yang mendapat keputusan cemerlang. Satu permulaan yang terpaksa saya lalui dengan rakan-rakan baru. Pada ketika itu, saya tidak pernah tahu yang untuk berjaya kita perlu pastikan siapa kawan kita, dan buku apa yang kita baca. Ya, setelah membaca buku Your RoadMap To Success, tulisan John C.Maxwell baru-baru ini, saya percaya yang hasil tulisannya itu memang benar.
Pesanan abah agar berkawan dengan orang yang 'betul' menjadikan saya adalah seperti saya sekarang ini. Nasihat abah setiap kali dalam perjalanan pulang dari sekolah turut menjadi momentum utama kejayaan saya. Tidak pernah abah memarahi kami adik beradik sekiranya keputusan peperiksaan tidak baik, bahkan abah selit dengan nasihat berbentuk motivasi. Sengaja abah letakkan frame gambar adik-beradiknya memegang skrol konvokesyen di ruang tamu kami. Kalau ditanya untuk apa? Untuk memberi semangat pada anak-anak abah supaya berjaya sama macam mereka. Supaya anak-anak abah dapat buktikan yang anak seorang pemandu lori JKR boleh menjadi orang yang cemerlang.
Walaupun abah tidak berpelajaran tinggi, tapi teknik didikannya setaraf dengan teknik yang diajar oleh Dale Carnegie, seiring dengan John C.Maxwell.
Alhamdulillah, saya akhirnya belajar semula dalam kelas yang sama dengan kawan-kawan lama, dan mendapat keputusan cemerlang dalam PMR, hingga melayakkan saya memasuki sekolah MRSM yang diimpikan selama ini.
Terima kasih abah sebab mendidik kami adik-beradik menjadi orang yang berjaya. Mendidik anak bukan hanya dengan rotan tetapi dengan mengenal apa tujuan kehidupan.
0 comments:
Post a Comment